Kerajaan jimat RM3.1 bilion tamat khidmat PDP bina Pan Borneo, kata Guan Eng


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan dapat menjimatkan RM3.1 bilion atau 14% dengan menamatkan perjanjian PDP bagi projek lebuh raya Pan Borneo Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Februari, 2020.

KERAJAAN dapat menjimatkan RM3.1 bilion atau 14% dengan menamatkan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek lebuh raya Pan Borneo Sarawak.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata susulan penamatan perjanjian PDP ini, kerajaan dapat mengurangkan kos perbelanjaan projek ini daripada RM21.857 bilion kepada RM18.846 bilion, penjimatan sebanyak RM3.1 bilion.

“Pada 4 September 2019, Kabinet memutuskan untuk meneruskan pembinaan lebuh raya sepanjang 786.4 kilometer itu mengikut pendekatan konvensional tanpa melibatkan syarikat PDP,” katanya di Putrajaya hari ini.

Kerajaan persekutuan, Danainfra Nasional Bhd dan kerajaan Sarawak menandatangani penamatan perjanjian PDP itu hari ini.

Penamatan perjanjian itu akan berkuat kuasa pada 20 Februari 2020.

Dengan penamatan perjanjian PDP, kerajaan akan menjadi pemilik projek itu dan akan dipantau oleh Jabatan Kerja Raya.

Satu perjanjian projek baharu turut ditandatangani oleh Danainfra dan kerajaan persekutuan.

Kerajaan akan memperuntukkan RM5 bilion bagi 11 pakej kerja manakala baki kos akan dibiayai oleh Danainfra Nasional.

Lim berkata pertukaran kepada kaedah konvensional itu dengan menganugerahkan projek secara langsung kepada kontraktor, akan membolehkan kerajaan berjimat daripada membayar yuran kepada PDP yang berjumlah 5.5% daripada sasaran kos projek. – 6 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen