Dipenjara 27 tahun kerana biayai Al-Qaeda, rancang bunuh hakim


SEORANG lelaki India yang datang ke Amerika Syarikat untuk belajar dijatuhi hukuman penjara lebih 27 tahun kerana menghantar dana kepada Al-Qaeda dan merancang membunuh hakim persekutuan semasa perbicaraannya.

Yahya Farooq Mohammad, 39, seorang daripada empat individu termasuk adiknya yang ditangkap pada September 2015 dan didakwa menghantar AS$22,000 kepada ulama kelahiran AS, Anwar Al-Awlaki, ketua Al-Qaeda yang berpusat di Yaman di Semenanjung Arab .

Yahya dan dua yang lain pergi ke Yaman pada 2009 dengan harapan dapat menyerahkan wang kepada Anwar, seorang perekrut paling berpengaruh dalam Al-Qaeda. Mereka tidak bertemu dengannya, tetapi wang itu dihantar kepadanya oleh pihak ketiga.

Selepas ditangkap pada 2015, Yahya juga cuba mengupah seseorang untuk membunuh hakim kesnya, kata Jabatan Kehakiman.

“Dia mengancam keselamatan rakyat kita, hakim dan kebebasan badan kehakiman. Kini, dia perlu bertanggungjawab,” kata peguam AS, Justin Herdman.

Yahya datang ke AS untuk belajar di Universiti Ohio pada 2002 dan berkahwin dengan rakyat negara itu pada 2008.

Setahun selepas ditangkap, Yahya menawar seorang banduan di Penjara Lucas, Ohio sebanyak AS$15,000 untuk menculik dan membunuh Hakim Daerah AS, Jack Zouhary.

Banduan itu menghubungkan Yahya dengan seorang pembunuh yang merupakan ejen FBI yang menyamar. Seorang ahli keluarga Yahya membayar bayaran pendahuluan sebanyak AS$1,000 kepada “pembunuh.”

Dia mengaku bersalah di mahkamah persekutuan AS di Toledo, Ohio kerana tuduhan berkonspirasi menyedia dan menyembunyikan sokongan material atau sumber kepada pengganas serta melakukan kejahatan keganasan.

Ketika permohonan rayuan, Yahya bersetuju menerima hukuman 27.5 tahun di penjara persekutuan dan akan dihantar pulang selepas itu.

Tiga lelaki lain yang ditangkap masih dalam perbicaraan. Semua mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. – AFP, 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen