Jangan biarkan UiTM terus jadi lubuk pembodek Umno


UCAPAN bekas ketua polis Negara, Musa Hassan di UiTM baru-baru ini mengenai Perjanjian Damai Hadyai 1989 menerima kecaman daripada sesetengah pihak kerana dikatakan penuh dengan provokasi politik membenci DAP. 

Apabila diteliti rakaman ceramah tersebut, yang boleh kita dapati di laman Facebook rasmi UiTM, pengisian yang diberikan oleh beliau adalah sesuatu yang musykil kerana tidak menjurus kepada Perjanjian Hadyai itu sendiri. 

Malah lebih ganjil lagi adalah persoalan mengapa Abdul Rahim Noor yang lebih berkelayakan untuk berceramah mengenai perjanjian tersebut tidak hadir memberikan ceramah tersebut.

Kontroversi program dan ceramah di UiTM bukanlah satu fenomena baru. 

Pada 2008, dalam forum Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan di UiTM Shah Alam, naib canselor berucap “…Cina ni melampau, demand lebih-lebih.  India ni pulak jika tuan-tuan pergi ke India, boleh tengok mereka kencing tepi jalan…”.  

Pada 2012 pula semasa menyampaikan ucapan di dalam Amanat Tahun Baru, Naib Canselor UiTM pada masa itu telah berucap “kita mesti memenangkan kerajaan yang ada sekarang agar universiti dan tempat ibadah kita tidak hilang.” 

Dalam Mac 2018 sebelum pilihan raya pula, program “Qalbu” diadakan di UiTM Shah Alam untuk meminta warga UiTM menyokong Umno dan Barisan Nasional. 

Dalam program tersebut, yang turut disertai oleh Lokman Adam sebagai jemputan khas, seorang pegawai tinggi UiTM sendiri telah berucap “mana-mana pensyarah yang tidak menyokong Umno, anda tidak layak mengajar di sini”. 

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, sepatutnya warga UiTM amat peka kepada mana-mana percubaan untuk memperbodohkan masyarakat tetapi wacana bodoh dan bebal sudah menjadi lumrah di UiTM.

Ini adalah rentetan usaha untuk meneruskan wacana politik Umno yang berselindung di bawah wadah kepentingan bangsa, agama dan tanahair. 

Ini jelas kelihatan di UiTM di mana terdapat ramai penyokong Umno yang terdiri dari staf pentadbiran dan akademik yang aktif dalam parti.   

Sudah terdapat undang-undang yang tidak membenarkan staf akademik terlibat berkempen politik atau aktif di dalam politik. 

Terdapat juga undang-undang yang tidak membenarkan staf akademik mengeluarkan apa-apa pernyataan yang menyokong mana-mana parti politik. Akan tetapi segala undang-undang ini diketepikan di UiTM. 

Sebaliknya mereka ini ghairah menuding jari kepada staf lain yang sewenang-wenangnya dicop sebagai “anti kerajaan” semata-mata kerana tidak bersetuju dengan agenda pembodohan mereka.

Adakah terdapat ruang untuk memperbetulkan kepincangan semua ini? Mungkin ada. 

Contohnya,  dalam Forum Perkara 153 di UiTM Shah Alam pada 2008, penasihat undang-undang UiTM sendiri menjadi moderator forum tersebut. 

Namun, tiada usaha yang jitu dilakukan oleh beliau oleh memandu isi forum tersebut ke arah yang lebih objektif. 

Lebih lucu lagi apabila pelajar undang-undang dilihat lebih berkaliber daripada penasihat undang- undang itu sendiri apabila melontarkan persoalan berkenaan dengan hak sama rata di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. 

Selama ini juga tiada kedengaran protes dari mana-mana persatuan kakitangan akademik di UiTM berkenaan dengan pernyataan bebal sebegini. 

Malah tiada protes umum dibuat oleh mana-mana persatuan kakitangan akademik UiTM apabila bekas presiden mereka sendiri, seorang professor madya, bertanding menjadi calon dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno pada 2015. 

Semua ini memberikan gambaran bahawa integriti akademik tidak wujud di UITM. 

Meskipun terdapat sebuah “Unit Integriti” di UiTM, fungsinya amat dipersoalkan apabila pimpinan universiti selama ini begitu mudah memuji-muji Umno malah kerap menghantar pelajar UiTM ke program Umno.

Maka apabila Lim Kit Siang menulis agar Musa dikeluarkan dari UiTM, permintaan tersebut adalah janggal kerana ia tidak melihat kepada keseluruhan budaya di UiTM itu sendiri yang sekian lama menjadi lubuk pembodek pengampu Umno dan dikatakan kini menjadi “benteng pertahanan terakhir Umno”. 

Musa bukanlah masalah yang sebenarnya di UiTM. 

Ada yang mencadangkan semua program dan ceramah di UiTM seperti ini dibiarkan kerana ia adalah bersesuaian dengan prinsip “kebebasan akademik”. 

Bagaimanapun, kebebasan akademik mewajibkan kebenaran itu ditunjukkan dengan sejelas-jelasnya. 

Sehingga ini kebanyakan ceramah di UiTM khususnya yang dianjurkan oleh Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di UiTM yang berkenaan dengan isu Melayu dan Raja-Raja Melayu tidak pernah dikuasai oleh wacana kebenaran. 

Kebanyakan ceramah ini hanya gemar melontarkan sentimen dan persoalan yang dikupas separuh jalan  sahaja dan mana-mana pelajar undang-undang tahun satu yang mengambil subjek undang-undang Perlembagaan ternyata lebih pakar daripada penceramah tersebut.   

Penceramah ini dilihat tidak ambil peduli dengan disiplin ilmu itu sendiri.  

Dalam menangani masalah ini, ada juga yang mengesyorkan agar tiada diambil apa-apa tindakan ke atas kesemua ini dan jangan campur tangan kerana ia adalah di bawah prinsip “autonomi universiti”. 

Akan tetapi jika tiada tindakan diambil, UiTM akan kekal menjadi lubuk pembodek pengampu Umno yang bebas berkuasa dan bermaharajalela di UiTM dari dulu, kini dan selamanya dan ini bercanggahan dengan kepentingan umum memandangkan UiTM wujud hasil daripada duit rakyat. 

UiTM, seperti jabatan kerajaan yang lain, sekian lama mengalami penyakit birokrasi di mana budaya ampu bodek angguk-angguk geleng-geleng telah berakar umbi. 

Biarpun ia wujud sebagai satu institusi pendidikan tinggi, kebenaran  ilmu bukanlah merupakan falsafah utamanya. 

Boleh dibilang dengan jari akan bilangan pensyarahnya yang gigih melawan agenda pembodohan di UiTM berbanding dengan pensyarah lain yang hidup sekadar mencari makan dan menunggu naik pangkat sahaja. 

Rata-rata ramai yang gemar memetik pencapaian UiTM di dalam dan luar negara untuk menyokong fantasi mereka bahawa “takkanlah UiTM teruk sangat seperti yang dikatakan”. 

Begitulah juga dengan perangai penyokong Najib Razak sebelum ini yang akhirnya tidak dapat berkata apa-apa ketika Nor Salwani Muhammad tampil memberikan bukti dokumen mengenai 1MDB yang beliau sorokkan. 

Diharapkan menteri pendidikan yang baru akan menangani masalah ini kerana sudah terbukti perlantikan seorang naib canselor UiTM yang baru dari UTM yang dilantik ketika zaman Maszlee Malik masih lagi gagal menangani masalah ini. – 6 Februari, 2020.

* Muhammad Abdullah adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen