PPSMI belum diputuskan, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir Khoo Gek San

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PPSMI sedang dibincangkan di peringkat kementerian dan akan diputuskan oleh Kabinet berdasarkan majoriti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Februari, 2020.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan yang kerajaan masih belum membuat keputusan untuk memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah.

Dr Mahathir, yang juga pemangku menteri pendidikan berkata ucapannya baru-baru ini memberi penekanan lebih kepada pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris adalah sebahagian daripada perbincangan dengan pegawai kementerian.

“Sebenarnya kerajaan masih belum membuat keputusan dan kami masih belum bersetuju untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Saya sedang mengadakan perbincangan dengan kakitangan Kementerian Pendidikan mengenai idea itu tetapi entah bagaimana, perbualan itu terdedah,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

“Kami masih mempertimbangkannya dan keputusan akan dibuat oleh Kabinet. Kami akan menentukannya berdasarkan majoriti,” katanya.

Tambahnya, rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Inggeris untuk negara terus membangun.

“Tanpa bahasa Inggeris, kita tidak akan bergerak ke hadapan, kita akan jauh ketinggalan. Banyak sebab mengaa kita perlu kuasai bahasa ini.

“Sains bukan seperti subjek Sejarah. Sains berkembang, dan setiap hari kita ada istilah baharu kerana kita ada penemuan baharu, semuanya dalam bahasa Inggeris.”

Menurutnya, beliau mengalu-alukan pandangan lain dan tiada halangan untuk beri pandangan mengenai perkara itu.

“Kamu boleh tulis artikel panjang untuk membantahnya. Masyarakat boleh bercakap mengenainya. Tiada halangan.”

PPMSMI diperkenalkan pada 2002 ketika pentadbiran pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Ia diteruskan walau mendapat bantahan daripada penyokong sekolah vernakular, pendidik dan ibu bapa.

Dasar itu bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, terutamanya pelajar Melayu. Ia bagaimanapun dimansuhkan selepas Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri.

Kini, pelajar di sesetengah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik di bawah program Dwibahasa.– 6 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen