Memelihara dan memulihara bahasa ibunda kita


SATU siri drama televisyen Baba Nyonya bertajuk “The Ghost Bride” yang sedang disiarkan di Netflix menarik banyak perhatian di seluruh dunia.

Terjemahan harfiah “The Ghost Bride” ialah “Pengantin Perempuan Hantu”. 

“The Ghost Bride” yang mempunyai latar belakang di Melaka pada 1890-an, dianggap sebagai satu karya yang ada kemajuan inovatif berbanding dengan filem dan siri sandiwara Baba Nyonya di Singapura serta Malaysia. 

Kebanyakan rakyat Malaysia rasa ini berbaloi untuk meraikannya kerana siri ini merupakan karya Malaysia (diarahkan oleh Quek Shio-chuan dan Ho Yu-hang, dan siri ini diterbitkan oleh orang Taiwan serta orang Malaysia) yang membolehkan negara kita mempersembahkan seniman kita yang luar biasa di pentas sejagat. 

Bagaimanapun, agak mengecewakan apabila filem dan siri Baba Nyonya di Malaysia serta Singapura hanya menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan.

Hanya satu siri komedi Baba Nyonya yang lama di Radio Televisyen Malaysia (RTM) disembahkan dalam patois Baba (Baba Malay atau bahasa Melayu Baba), terutamanya sitkom “Baba dan Nyonya”.

Dalam sitkom “Baba dan Nyonya”, Kenny Chen berlakon sebagai Bibik Kim Neo, dan Chee Hood Siong berlakon sebagai Ah Chim. 

Filem serta siri Baba Nyonya wajib menggunakan bahasa Melayu Baba, Hokkien atau bahasa Tionghua yang bukan Mandarin. 

Hakikatnya, Baba Nyonya atau Cina Peranakan bukan masyarakat yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa ibunda. 

Bahasa Hokkien ditutur turun-temurun oleh kumpulan etnik Cina Peranakan di Pulau Pinang manakala bahasa Hokkien dan bahasa Melayu Baba ditutur turun-temurun oleh kumpulan etnik Cina Peranakan di Melaka serta Singapura. 

Terdapat juga nenek moyang Cina Peranakan yang berketurunan Kantonis, Hainan, Teochew atau Hakka memiliki bahasa ibunda yang berbeza.

Majoriti orang Cina Peranakan di Malaysia dan Singapura berketurunan Hokkien. 

Oleh demikian, bahasa ibunda masyarakat Cina Peranakan tidak sewajarnya bahasa Mandarin.

Bahasa Mandarin merupakan bahasa Cina yang berkembang di China utara, terutamanya kawasan merangkumi dari Yunnan di barat daya China sehingga Heilongjiang di timur laut China.

Bahasa Cina Selatan seperti bahasa Hokkien, bahasa Kantonis, bahasa Hainan, bahasa Teochew, dan bahasa Hakka bukan loghat-loghat Mandarin. 

Terdapat beberapa bidasan menyatakan bahawa penggunaan bahasa asli bukanlah penentu mutu atau kejayaan sesuatu filem atau siri.

Namun begitu, tidakkah ganjil jika Opera Kantonis dipersembahkan dalam bahasa Mandarin? 

Perihal aneh ini berlaku di Guangzhou dalam tahun 2016 di Guangzhou. Dalam satu pesta pengiraan detik Tahun Baru Qamari atau Tahun Baru Imlek yang bertema “Guangzhou/Canton Akan Menjadi Lebih Baik” (“Canton” ialah ejaan Romanisasi pos Tiongkok/Postal Map Romanization kepada perkataan “Guangzhou”), sebuah persatuan seni persembahan mempersembahkan satu Opera Kantonis “Hikayat Bot” dalam bahasa Mandarin. 

Banyak penduduk Canton mengecam opera tersebut kerana ia memusnahkan budaya dan bahasa Kantonis.

Dalam drama Korea, penyerbu Manchuria bertutur dalam bahasa Manchu. Ini memang mencerminkan kenyataan sejarah. 

Sebahagian orang yang membantah penggunaan bahasa ibunda menerangkan bahawa tidak mempiawaikan bahasa Mandarin sebagai bahasa standard bagi semua orang Tionghua merupakan ancaman kesatuan orang Tionghua. 

Jika kita mematuhi logik ini, semua orang Malaysia hanya boleh bercakap dalam bahasa Malaysia sahaja.

Apabila masakan Perancis menjadi masakan tahap antarabangsa, mestikah kita hanya makan hidangan Perancis sahaja setiap hari? 

Apabila semua penonton hanya mengharapkan pelakon-pelakon bertutur dalam satu bahasa sahaja, misalnya bahasa Mandarin atau Inggeris, bolehkah anda membayangkan ancaman yang dibawa kepada bahasa-bahasa yang lain di dunia yang bersemangat ini? 

Sebahagian orang berkepercayaan bahawa penonton tidak akan merasakan sebarang ikatan dengan filem atau sandiwara itu jika watak-watak itu bertutur dalam bahasa asing. 

Sebaliknya, walaupun K-pop dan K-drama bertutur dalam bahasa Korea, K-pop dan K-drama masih memiliki peminat yang ramai di seluruh dunia. 

Kita juga boleh menonton filem serta sandiwara negara asing dengan sari kata. Contohnya, Opera Hokkien Taiwan dan Opera Peking di panggung wayang Taiwan dipersembahkan dengan sari kata Mandarin serta Inggeris. 

Tahun lepas, seorang pelajar sekolah menengah di Nova Scotia, Kanada mempersembahkan satu lagu klasik The Beatles yang berjudul “Blackbird” di YouTube dalam bahasa Mi’kmaq yang merupakan salah satu bahasa orang asli di Kanada. 

Pelajar itu, Emma Stevens, mendapat 380,000 tontonan video dalam empat bulan sahaja.

Beliau mendapat 1.56 juta tontonan setakat ini. Emma Stevens bertuah untuk menemui Paul McCartney, penyanyi asal “Blackbird”. Paul McCartney mengucapkan penikmatannya dengan lagu “Blackbird” versi Mi’kmaq yang membantu merayakan budaya yang berlainan. 

Selain itu, bahasa Haida, bahasa orang asli yang lain di Kanada, sedang terancam. Untuk memelihara bahasa Haida, seorang pengarah Haida bernama Gwaai Edenshaw  membuat filem yang berjudul “SGaawaay K’uuna” (bahasa Inggeris: Edge of the Knife; bahasa Malaysia: Pinggir Pisau). 

Mengapakah kita tidak boleh melihat mereka sebagai teladan kita? 

Wahai orang Tionghua yang mempunyai nenek woyang yang bercakap dalam bahasa Hokkien, bahasa Hakka, bahasa Kantonis, bahasa Teochew, bahasa Hainan, bahasa Hokchew, dan bahasa Cina Selatan yang lain.

Janganlah menganggap bahasa Mandarin sebagai bahasa sendiri lagi! 

Mandarin ialah bahasa Cina Utara manakala nenek moyang masyarakat Tionghua di Malaysia dan Singapura bertutur dalam bahasa Cina Selatan. 

Tolonglah hidupkan bahasa-bahasa Tionghua yang bukan Mandarin! 

Wahai Baba Nyonya, tolonglah hidupkan bahasa Melayu Baba dan bahasa Hokkien anda.

Anak anda akan belajar bahasa Mandarin di sekolah Mandarin, jadi anda tidak perlu bimbang anak anda tidak mampu bertutur dalam bahasa Mandarin. 

Cakaplah bahasa ibunda anda, kerana anak anda hanya boleh belajar bahasa ibunda daripada anda. 

Kesimpulannya, kita mesti menggunakan bahasa ibunda kita dalam pelbagai keadaan yang sesuai, termasuklah karya seni kita dan sastera kita. – 6 Februari, 2020.

* Sean Yeow Boon Soong adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen