POLIS hari ini menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga Indonesia mati ditikam di sebuah rumah pekerja kilang bata di Kampung Telisai, Kilometer 62, Tungku dekat Lahad Datu semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata wanita warga Filipina berumur 41 serta dan suaminya warga tempatan berusia 60 tahun itu ditahan di kampung sama pada 4.30 pagi tadi.
“Suspek wanita merupakan tukang cuci di rumah mangsa berumur 49 tahun tetapi diberhentikan oleh mangsa sejak dua hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di Lahad Datu, hari ini.
Nasri berkata mangsa didapati cedera parah dengan kesan tikaman di perut sebelah kiri dan disahkan meninggal dunia pada 1 pagi.
Sebelum itu, jiran mangsa terdengar bunyi bising dan apabila ke rumah mangsa, didapati mangsa terbaring berlumuran darah di ruang tamu, katanya dan menambah bahawa jiran itu kemudiannya membuat panggilan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
“Siasatan di rumah mangsa setakat ini tidak menemui unsur pecah masuk,” katanya dan menjelaskan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama, 5 Februari, 2020.
Komen