Hampir 180 pelajar Malaysia masih di China, kata Teo Nie Ching


Lee Chi Leong Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata jumlah pelajar Malaysia yang berada di China adalah berdasarkan pendaftaran pelajar dengan kerajaan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2020.

HAMPIR 180 pelajar Malaysia masih berada di China selepas republik itu menggantung semua kelas di universiti sehingga tarikh yang akan dimaklumkan susulan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Kumpulan pelajar itu antara lebih 3,800 pelajar Malaysia di China yang kebanyakannya sudah pulang ke tanah air sebelum cuti Tahun Baharu Cina.

Menurut Teo kepada The Malaysian Insight, Jabatan Pendidikan di Kedutaan Malaysia di Beijing sudah menghubungi pelajar tersebut menerusi aplikasi WeChat.

Katanya pelajar terbabit memberi maklum balas bahawa mereka berada dalam keadaan baik.

“Berdasarkan maklumat hari ini, terdapat hampir 180 pelajar Malaysia masih berada di China pada cuti semester selepas China menggantung semua kelas universiti.

“Kita akan mengikut tindakan yang akan dibuat mengikut keperluan Kementerian Hal Ehwal Luar,” katanya.

Teo berkata hanya seorang pelajar Malaysia yang memilih untuk berada di Wuhan atas sebab peribadi.

Wuhan merupakan pusat penyebaran wabak koronavirus yang dilaporkan berlaku seawal pertengahan Disember tahun lalu.

Teo berkata jumlah pelajar Malaysia yang berada di China adalah berdasarkan pendaftaran pelajar dengan kerajaan Malaysia.

Katanya kementerian pendidikan tidak akan mengetahui pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di negara itu jika tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Awal hari ini, sebuah pesawat disewa khas membawa pulang 106 rakyat Malaysia dari Wuhan.

Duta Besar Malaysia ke China, Nushirwan Zainal Abidin berkata pihak kedutaan akan terus memantau rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan dan tidak menyertai misi pulang ke negara ini susulan penularan wabak itu di China ketika ini.

Nushirwan berkata, 34 rakyat Malaysia yang tidak menyertai misi pulang itu, sebilangannya dikenaplasti kerana faktor logistik selain ada memilih untuk tidak pulang ke tanah air. β€“ 4 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen