Malaysia sasar jumlah dagangan RM2 trilion tahun ini


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Dr Ong Kian Ming berkata negara perlu menaikkan jumlah eksport dan import sebanyak 2% bagi mencapai sasaran RM2 trilion. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Februari, 2020.

SELEPAS merekod jumlah dagangan RM1.835 trilion tahun lepas, Malaysia menetapkan sasaran mencapai RM2 trilion pada 2020 walaupun ia bergantung kepada kesan wabak koronavirus, kata Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Dr Ong Kian Ming.

Ong berkata negara perlu menaikkan jumlah eksport dan import sebanyak 2% bagi mencapai sasaran RM2 trilion.

“Jika awak tanya saya sebelum koronavirus, saya akan kata ia sasaran sihat sama ada kita boleh capai RM2 trilion,” kata Ong kepada media selepas mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia 2019, hari ini.

“Kita tak dapat capai tahun lepas tetapi mungkin kita boleh (tahun ini) dengan situasi dunia yang bertambah baik dan kenaikan harga minyak yang memberi faedah kepada negara pengeluar minyak seperti Malaysia,” kata Ong.

Jumlah perdagangan keseluruhan pada 2019 jatuh sebanyak 2.9% kerana eksport jatuh sebanyak 1.7% kepada RM986.40 bilion dan import jatuh 3.5% kepada RM849.01 bilion.

Ia berlaku kerana permintaan lemah tahun lepas disebabkan perang dagang antara China-AS dan Jepun-Korea Selatan, yang merupakan antara negara rakan dagang utama Malaysia. – 4 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen