Rosmah masuk hospital, kata peguam


Rosmah Mansor dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur malam tadi, kata peguamnya Akberdin Abdul Kadir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2020.

ISTERI bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur malam tadi, lapor Malaysiakini.

Perkara itu disahkan oleh peguam Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Rosmah dalam perbicaraan kes rasuah yang dihadapainya, menerusi kiriman mesej kepada portal itu.

“Ya, betul. Tertakluk kepada nasihat doktor,” Akberdin dipetik sebagai berkata, ketika ditanya sama ada Rosmah akan menerima rawatan untuk beberapa hari lagi.

Perbicaraan kes rasuah Rosmah semalam ditangguhkan selepas peguam bela, Jagjit Singh memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang anak guamnya itu sakit dan diarahkan oleh doktor supaya berehat.

Peguam itu juga menyerahkan salinan laporan perubatan bertarikh 2 Februari kepada mahkamah.

Laporan perubatan itu menyebut Rosmah menghidap cervical spondylosis, osteoarthritis di kedua-dua lutut dan chronic adrenal insufficiency. 

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian mengarahkan perbicaraan ditangguhkan ke esok.

Beliau juga mencadangkan supaya Rosmah menghadiri perbicaraan menggunakan kerusi roda dan akan menangguh perbicaraan yang berlangsung untuk sementara, jika isteri bekas perdana menteri itu memerlukan rehat.

Rosmah, 69, berdepan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor. – 4 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen