Perak tetap teruskan projek hidro mini Ulu Geruntum


Noel Achariam

Struktur hidroelektrik mini kelihatan di tepi sungai di Ulu Geruntum di Gopeng, Perak. Kerajaan negeri berkata projek itu tidak dapat dihentikan kerana perjanjian terikat dengan undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2020.

PROJEK hidroelektrik mini di Ulu Geruntum di Gopeng, Perak tidak dapat dihentikan kerana ia diluluskan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, dan kerajaan semasa terikat secara undang-undang untuk meneruskannya, kata wakil rakyat.

Adun Teja Sandrea Ng berkata walaupun Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memansuhkan projek itu ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun kerajaan negeri yang baharu tertakluk untuk mengekalkan projek berkenaan.

“Ketika kempen PRU14, salah satu janji ialah jika kami diberikan mandat, kami akan hentikan projek itu.

“Walaupun kami sudah mengambil alih kerajaan, kami ada tanggungjawab secara undang-undang untuk memastikan perjanjian itu berlangsung.

“Pada masa ini, kes itu di Mahkamah Tinggi tetapi keputusan di tangan kerajaan negeri (untuk meluluskannya),” kata Ng kepada The Malaysian Insight.

Orang Asli suku Semai di Ulu Geruntum berang dengan kerajaan negeri Perak yang gagal menamatkan projek hidroelektrik mini yang menceroboh tanah adat mereka.

Mereka berharap PH dapat membatalkan keputusan BN untuk menempatkan empangan hidro di hutan itu di mana ia menjadi tempat tinggal mereka sejak berdekad lalu.

Walaupun mendapat gesaan daripada suku itu, aktivis dan kumpulan persatuan sivil lain untuk menghentikan projek berkenaan, kerajaan negeri pada tahun lalu membenarkan projek itu diteruskan.

Orang Asli suku Semai di Ulu Geruntum berkata projek hidroelektrik mini itu akan menjejaskan tempat tinggal mereka dan menceroboh tanah adat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2020.

BN meluluskan 25 projek hidroelektrik mini di seluruh negeri itu pada 2012 dan enam lagi, setahun kemudian dengan kos keseluruhan RM2.92 bilion.

Ng berkata sebaik saja selepas pilihan raya, mereka berhubung dengan semua pemegang kepentingan dalam projek berkenaan untuk menangani masalah itu.

“Sebelum PRU14, kerajaan BN menggantung projek itu. Selepas pilihan raya, kerajaan negeri mula berhubung dan berbincang dengan semua pihak berkepentingan.

“Kerajaan negeri kemudian melantik exco untuk menyediakan laporan berkenaan projek itu. Antara 2018 dan 2019, kami mengadakan beberapa mesyuarat dengan Tok Batin Ulu Geruntum, kumpulan persatuan sivil, kontraktor dan semua agensi terbabit,” katanya.

Beliau berkata selepas mendengar penerangan semua agensi terlibat, kerajaan negeri membuat keputusan untuk meneruskan projek itu.

“Tetapi mereka juga menubuhkan jawatankuasa pemantau yang diketuai exco alam sekitar Dr Aziz Bari.

“Masalahnya ialah perjanjian ditandatangani oleh kerajaan sebelum ini.”

Ng berkata kerajaan negeri mempertimbangkan kebimbangan dibangkitkan oleh Orang Asli dan pihak berkepentingan dalam pelancongan, berhubung kesan projek itu terhadap alam sekitar.

“Ini kebimbangan kami yang paling utama (alam sekitar). Kerana selepas perbincangan dengan semua agensi, mereka beri maklum balas positif berkenaan projek itu.

“Jadi, bila kerajaan negeri buat keputusan, ia yakin tidak akan ada kesan kepada alam sekitar.

“Kami juga sedar masyarakat Orang Asli di sini marah yang kami tidak boleh menghentikan projek ini. Tetapi kami buat apa yang mampu untuk membantu memantau alam sekitar dan mencegah sebarang masalah apabila projek itu bersambung semula,” katanya.

Ng berkata buat masa ini tidak ada arahan berhenti kerja, kecuali jika mahkamah mengeluarkan perintah injunksi menghentikan kerja.

Masyarakat Orang Asli suku Semai di situ membantah projek berkenaan sejak 2012 kerana mereka bimbang ia akan memusnahkan ekosistem dan cara hidup mereka.

Terdapat kira-kira 900 penduduk tinggal di lapan kampung sekitar kawasan projek itu.

Penduduk kampung membuat bantahan sejak ia diumumkan kali pertama pada 2012 dan kontrak projek itu diberikan kepada sebuah syarikat untuk membina 31 empangan mini di sepanjang tiga sungai, termasuk Sungai Kampar.

Mereka juga memfailkan tindakan undang-undang untuk menghentikan projek berkenaan tetapi ia belum didengar di mahkamah. – 4 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen