SEORANG operator kilang kerugian RM11,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita itu mempunyai waran tangkap kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dalam kejadian di Kepala Batas semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 24 tahun itu memaklumkan beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari mahkamah di Putrajaya dan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
“Wanita itu menafikan dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram atau apa-apa kes jenayah sebelum panggilan tersebut kononnya disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai polis dan mendakwa terdapat waran tangkap atas nama operator kilang tersebut,” katanya di Kepala Batas hari ini.
Beliau berkata bimbang ditangkap, wanita itu telah memindahkan wang sebanyak RM11,000 ke satu akaun diberikan sindiket kononnya akaun milik pegawai Jabatan Audit Negara bagi tujuan siasatan sebagaimana diarahkan suspek.
Noorzainy berkata selepas menyedari ditipu, wanita itu membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sindiket yang terlibat termasuk pemilik akaun yang mangsa pindahkan wangnya bagi membantu siasatan,” katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. – Bernama, 3 Februari, 2020.
Komen