WABAK koronavirus menyebabkan indeks komposit Shanghai menjunam sebanyak 8.7% pada hari pertama dagangan dibuka selepas cuti panjang Tahun Baharu China.
Menurut data dikeluarkan Bloomberg, pasaran dibuka pada 2,716.70, iaitu 8.7% lebih rendah ketika ditutup pada 2,976.53 sebelum berdikit kepada 2,734.66.
Sementara itu, Indeks Shanghai Shenzhen CSI 300 jatuh sebanyak 9.1% ketika dibuka kepada 3,639.91 daripada 4,003.90.
Ia kemudian berdikit kepada 3,676.60.
Wabak novel koronavirus yang mula meledak di bandar Wuhan yang terletak di daerah Hubei, China kini sudah membunuh 361 orang dan menjangkiti lebih 17,205 mangsa di seluruh negara itu.
Virus itu kini sudah merebak ke lebih 20 buah negara lain, termasuk Malaysia, dengan Filipina melaporkan kes kematian pertama yang berlaku di luar China.
Sementara itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI pula dibuka rendah 8.92 mata pada 1,522.14 hari ini berbanding ketika ia ditutup Jumaat lalu sebanyak 1,531.06, penurunan terbanyak sejak lebih lima tahun lalu.
Wabak itu juga menyebabkan beberapa pasaran saham utama lain ditutup lemah, kata MIDF Research dalam laporan aliran tunai mingguannya.
Laporan menyebut bahawa pasaran saham di Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, India dan Malaysia menyaksikan aliran keluar pelaburan asing mencecah AS$3.65 bilion (RM15.3 bilion) pada minggu lepas.
Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar pelaburan asing apabila pelabur asing menjual RM659.7 juta ekuiti tempatan minggu lepas, aliran keluar terbanyak sejak lapan minggu lalu.
Syarikat berkaitan pengangkutan seperti Malaysia Airport Holdings Bhd dan AirAsia Group Bhd juga menyaksikan kejatuhan nilai saham, masing-masing sebanyak 6.7% dan 3.8% pada hari sama. – 3 Februari, 2020.
Komen