Kumpulan pendidikan Cina tak sependapat isu PPSMI


Angie Tan

Pelajar sekolah vernakular berdepan masalah apabila bahasa pengantar sains dan matematik berubah apabila memasuki pendidikan menengah dan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2020.

HASRAT Dr Mahathir Mohamad untuk memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencetuskan perbezaan pendapat dalam dua kumpulan pendidikan Cina berpengaruh negara.

Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim berkata dasar itu sebelum ini yang pertama kali diperkenalkan pada 2003 terbukti gagal sehingga terpaksa dibatalkan.

“Saya harap Dr Mahathir tidak ulang kesilapan sama mempromosi pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, yang hanya akan gagal sekali lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Dr Mahathir pada mesyuarat bersama pegawai Kementerian Pendidikan awal bulan ini. Dr Mahathir kini adalah menteri pendidikan, memangku jawatan tersebut selepas Dr Maszlee Malik meletak jawatan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata rancangan pengenalan semula PPSMI masih dalam perbincangan awal.

“Perkara itu masih dalam perbincangan awal, keputusan masih belum dimuktamadkan,” katanya hari ini.

Tan berkata, diketahui umum yang bahasa ibunda pelajar adalah kaedah terbaik pengajaran dan ia turut diakui oleh Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Budaya Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Lebih mudah untuk memahami mata pelajaran yang diajar dalam bahasa ibunda pada peringkat sekolah rendah. Jika anda guna bahasa yang bukan bahasa ibunda, pelajar sukar untuk faham, jadi itulah sebabnya mengapa kami menentang (PPSMI) dilaksanakan di sekolah rendah,” katanya.

Sebuah lagi kumpulan, bagaimanapun, berkata masalah penguasaan Bahasa Inggeris pelajar pada peringkat sekolah rendah boleh menyebabkan mereka berdepan masalah pembelajaran di sekolah menengah.

Edward Neoh Chuan Tat, penasihat kumpulan pendidikan Jia Zong, berkata anak perempuannya sendiri berdepan masalah itu.

“Beliau dapat semua A untuk UPSR tetapi bermasalah di sekolah menengah kerana bahasa pengantar berbeza,” katanya.

Neoh berkata ramai pelajar sekolah vernakular berdepan masalah itu, cemerlang di sekolah rendah tetapi berdepan masalah di peringkat lebih tinggi kerana kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris.

Disebabkan itu, Neoh berkata Jia Zong menyokong rancangan mengukuhkan PPSMI.

Malah, beliau turut bersetuju sekiranya Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar tunggal di sekolah, menyifatkannya sebagai langkah bijak mempersiapkan pelajar untuk tahap pendidikan lebih tinggi dan kerjaya mereka.

Tan daripada Dong Zong pula berpandangan yang pengajaran pelajar lebih baik dilakukan dalam bahasa ibunda mereka, berkata mereka akan cuba berjumpa Dr Mahathir selaku menteri pendidikan sekarang.

Dalam mesyuarat dengan pegawai Kementerian Pendidikan sebelum ini, Dr Mahathir mendesak lebih banyak tumpuan diberikan kepada pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

“Mata pelajaran ini datang dari luar negara dan kebanyakannya datang kepada kita dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.”

Beliau juga dilaporkan berkata, pelajar yang belajar sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia sukar mendapatkan pekerjaan kerana syarikat cenderung menggaji mereka yang fasih berbahasa Inggeris.

“Kita mahu menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris dan penguasaannya dalam sistem pendidikan negara. Ini sangat penting. Kita perlu peruntukkan masa untuk belajar Bahasa Inggeris, khususnya pembelajaran Sains dan Matematik,” katanya.

PPSMI pertama kali diperkenalkan pada 2002 ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri kerajaan Barisan Nasional. Ia dilaksanakan walaupun mendapat tentangan hebat sekolah vernakular, kumpulan pendidik dan ibu bapa.

Dasar itu bermatlamat mengatasi masalah penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar Melayu. Ia bagaimanapun dimansuhkan pada 2009 apabila Najib Razak menjadi perdana menteri.

Ketika ini, pelajar sekolah terpilih boleh memilih belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris menerusi Program Dwi Bahasa. – 2 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen