Saya bukti kejayaan PPSMI, kata Syed Saddiq


SM Amin

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong penuh PPSMI demi kepentingan anak muda luar bandar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Februari, 2020.

PEMUDA Bersatu menyokong penuh rancangan perdana menteri untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua sayap tersebut Syed Saddiq Abdul Rahman memberi contoh dirinya sebagai kejayaan pelaksanan PPSMI kerana berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Saya bersetuju dengan cadangan perdana menteri. Saya merupakan salah seorang anak muda yang melalui pengajaran PPSMI dan berjaya dididik, sampai kini saya berjaya.

“Pada peringkat awal, bukan sahaja peggunaan bahasa Inggeris saya sangat lemah tetapi selepas tamatnya pengajian di pendidikan tinggi, apa yang saya belajar melalui pendididkan PPSMI tersebut juga saya dapat guna pakai sampai ke hari ini,” katanya.

Beliau mengulas rancangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memperkenal semula PPSMI untuk menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut.

Menurut Syed Saddiq, beliau akui usaha untuk mengembalikan semula PPSMI dalam sistem pendidikan bukan satu perkara yang mudah namun tetap menyokong usaha itu.

“Saya tahu perkara ini bukan mudah tetapi saya memberikan sokongan kepada perdana menteri kerana saya tahu walaupun tidak mudah dan tidak popular, niat beliau ikhlas.

“Beliau mahu memastikan bahawa anak-anak muda, khususnya di kawasan luar bandar dan bandar dapat diberikan pendidikan yang terbaik, pendedahan yang terbaik,” katanya.

Jelasnya, ia bagi membolehkan golongan itu dapat bersaing apabila masuk ke universiti dan memasuki alam pekerjaan.

Bagaimanapun kata Syed Saddiq, keputusan muktamad hanya akan diputuskan dalam mesyuarat kabinet.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Belia Antarabangsa Cheras di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan semula PPSMI itu masih menjadi tanda tanya selepas pengumuman Dr Mahathir pada minggu lalu.

Beberapa menteri Pakatan Harapan menyatakan, rancangan itu belum dibincangkan dan diputuskan oleh Kabinet.

PPSMI dimansuhkan pada 2012 selepas dilaksana selama hampir 10 tahun ekoran kecaman pelbagai NGO dan parti politik, termasuk dari Umno yang menguasai kerajaan waktu itu. – 2 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen