Nadma akan bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, kata TPM


Ragananthini Vethasalam

132 orang melapor diri di Kedutaan China untuk pulang ke Malaysia, bagaimanapun ia tertakluk sama ada mereka melepasi saringan kesihatan dibuat China. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2020.

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan melakukan misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, buat masa sekarang terdapat 132 orang yang melapor diri di Kedutaan Malaysia untuk pulang ke tanah air. Daripada jumlah tersebut, 108 adalah warganegara Malaysia dan 24 lagi bukan warganegara terdiri daripada anak atau pasangan. 

Bagaimanapun, hanya mereka yang lulus saringan keselamatan dibuat kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe akan dibawa pulang.

Katanya lagi, pesawat AirAsia akan digunakan disertai dalam misi lapan orang terdiri daripada enam pegawai Kementerian Kesihatan, seorang pegawai Nadma dan seorang pegawai Wisma Putra.

“AirAsia menjadualkan penerbangan pada 3 Februari 2020 tetapi ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan China,” katanya dalam satu kenyataan selepas hadir taklimat Nadma bersama menteri kesihatan dan ketua pengarah kesihatan.

Penerbangan AirAsia itu dikendalikan 12 anak kapal serta membawa topeng, sarung tangan dan makanan yang dibenarkan kerajaan China.

“Saya sudah bertemu semua pegawai termasuk anak kapal yang akan pergi ke sana untuk berterima kasih kepada mereka bagi pihak kerajaan dan rakyat terutama keluarga mereka yang terlibat kerana pengorbanan mereka membantu rakyat Malaysia pulang dari Wuhan,” katanya.

“Saya juga sudah nasihatkan mereka untuk menjaga kebajikan dan kesihatan mereka dan rakyat yang dibawa pulang,” tambahnya.

Dr Wan Azizah yang juga pengerusi Nadma berkata beliau berpusat hati dengan Pusat Bencana Udara (ADU) yang kini sudah bersiap sedia melaksanakan misi itu.

Penumpang, anak kapal dan pegawai misi akan dibawa ke ADU untuk saringan kesihatan sebaik tiba di KLIA. Mereka yang mempunyai simptom akan dipindahkan ke Pusat Pemerhatian menggunakan bas.

Pusat Pemerhatian dilengkapi bilik pembedahan, bilik rehat dan kemudahan lain untuk menempatkan 158 penumpang termasuk lapan pegawai misi, 12 anak kapal dan enam pegawai Kedutaan Malaysia di Beijing bagi kuarantin wajib 14 hari.

Beliau turut meluahkan rasa puas hati dengan pengurusan semasa krisis, berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan, AirAsia, Malaysia Airports Holdings Berhada (MAHB), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Nadma dan agensi lain yang terlibat dalam misi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, tiada kes baharu positif novel koronavirus dilaporkan setakat jam 12 tengahari tadi, mengekalkan kes positif pada lapan.

183 orang kini dikelaskan sebagai Pesakit Bawah Siasatan (PUI) dan 18 lagi sedang menunggu keputusan ujian makmal. Kes positif hubungan rapat kekal pada 32. – 2 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen