Suruhanjaya Sekuriti siasat skandal AirAsia-Airbus


Pengerusi SC Syed Zaid Albar berkata, ini kerana AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd adalah entiti yang tersenarai Bursa Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2020.

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) akan memeriksa tuduhan dan menyemak semula semua bukti untuk menentukan sama ada berlaku pelanggaran undang-undang sekuriti dalam skandal rasuah AirAsia-Airbus.

Pengerusi SC Syed Zaid Albar berkata, ini kerana AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd adalah entiti yang tersenarai Bursa Malaysia.

“Menurut S317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, pengarah syarikat tersenarai tersenarai awam (PLC) yang melakukan sesuatu dengan niat menyebabkan kerugian kepada PLC atau syarikat berkaitan, melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara dan denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia berhubung dengan pihak berkuasa United Kingdom (UK) dan mula menyiasat skandal yang didedahkan menerusi dokumen mahkamah UK.

AirAsia bagaimanapun menafikan salah laku dalam skandal membabitkan pembuat pesawwat Eropah, Airbus.

Ia menafikan laporan media yang memetik dokumen mahkamah menyatakan sesetengah perjanjian tempahan pesawat ada kaitan “tidak wajar” dengan penajaan pasukan sukan berkaitan dengan eksekutifnya.

“AirAsia menolak dan menafikan semua tuduhan itu,” katanya.

Dokumen mahkamah di UK menamakan AirAsia dan AirAsia X sebagai penerima rasuah AS$50 juta (RM240 juta) daripada Airbus.

Dokumen tersebut mendedahkan perjanjian penyelesaian berbilion dolar dicapai antara pembuat pesawat itu dengan pihak berkuasa anti rasuah di Britain, Perancis dan AS yang menyatakan dua pengarah syarikat penerbangan tambang murah itu dibayar sejumlah wang bagi membolehkan Airbus mendapatkan kontrak menerusi orang tengah untuk menjual pesawatnya di seluruh dunia.

Dalam penyelesaian itu, Airbus bersetuju membayar hampir €1 bilion (RM4.5 bilion) di UK

€2.1 bilion di Perancis dan €530 juta di AS. – 2 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen