Eksploitasi, monopoli, ketirisan punca petani miskin


SEKTOR pertanian semakin mendapat perhatian di Malaysia sebagai sebuah industri penting pada masa hadapan dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi dan perubahan iklim.

Banyak artikel ditulis oleh pelbagai pihak akhir-akhir ini menyatakan industri pertanian di Malaysia tidak efisien dan gagal menghasilkan output mencukupi dan berkualiti.

Menurut mereka, ini punca majoriti petani miskin dan akibat daripada kegagalan ini, Malaysia tidak dapat mencapai tahap keterjaminan makanan (food security) untuk menghadapi kebarangkalian berlakunya krisis makanan dunia.

Majoriti membuat kesimpulan punca kemunduran pertanian negara kurang penggunaan teknologi moden dan petani kecil yang tidak produktif akibat saiz ladang yang tidak ekonomik.

Tidak ramai yang membincangkan masalah utama yang petani hadapi di lapangan seperti ketirisan subsidi yang sebahagian besarnya dinikmati oleh syarikat pembekal dan kontraktor (bukan petani), eksploitasi pasaran harga input dan hasil, monopoli korporat yang menindas, jerat hutang, kemasukan produk luar negara berkualiti rendah dan murah secara tidak terkawal serta pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan daripada kuasa yang mereka ada.

Contoh yang dapat dilihat dengan jelas kelewatan bekalan benih dan baja padi. Ini menyebabkan petani terpaksa menuai di luar musim dan mendapat hasil yang teruk terjejas kerana penyakit dan masalah cuaca.

Lambakan produk import seperti beras, buah-buahan dan sayuran yang diluluskan sendiri oleh kerajaan dan pihak yang memonopoli pasaran pula menjejaskan pasaran tempatan. Penipuan pada perjanjian jual beli bekalan, penipuan timbangan berat dan orang tengah yang mencekik darah menambah lagi penderitaan yang dialami oleh petani dalam industri pertanian ini.

Perkara di atas jika dapat diatasi dengan undang-undang, penguatkuasaan dan pengurusan yang lebih mantap,s udah pasti dapat menyelesaikan banyak masalah yang membelenggu industri pertanian kita.

Hal teknologi dan petani kecil bukan tidak penting tetapi perlu difikirkan dengan lebih mendalam sebelum dilaksanakan. Kegagalan kita dalam mengenal pasti masalah sebenar di lapangan hanya akan memburukkan lagi keadaan apabila teknologi dan sistem estet diperkenalkan.

Dalam hal teknologi, masalah timbul apabila petani tidak mampu memilikinya dan mereka akan dipinggirkan oleh pembekal perkhidmatan teknologi ini.

Teknologi yang hendak diperkenalkan seharusnya mesti mampu dimiliki petani dan diperkenalkan secara berperingkat. Jika tidak, petani akan terpinggir dan terus merempat kerana tempat mereka akan diganti dengan syarikat besar yang datang ke kampung untuk mengambil alih kerja mereka.

Sistem ladang yang mahu diperkenalkan dengan mengambil alih tanah petani kecil ini kononnya untuk menyelesaikan masalah teknologi, kecekapan, pengurusan dan kos.

Ia mesti difikirkan masak-masak oleh kerajaan dan juga para petani yang kini sedang hebat dipujuk untuk menyerahkan tanah mereka.

Lebih banyak duit boleh dihasilkan dengan sistem ladang seperti industri kelapa sawit, kata mereka. Mungkin benar. Namun soalan yang patut ditanya adalah siapa yang akan kaya?

Siapa yang akan menanggung risiko dan hutang? Adakah hak petani terhadap hasil dan tanah akan tergadai?

Dalam salah satu model estet yang sedang diperkenalkan, awal-awal lagi petani kecil sudah disuruh membuat pinjaman bank sebagai syarat menyertai skim ladang.

Wang pinjaman akan disimpan oleh syarikat sebagai modal dan tanggungan hutang perlu dibayar oleh petani setiap bulan.

Petani dijanjikan pulangan yang tinggi setiap musim untuk melabur. Kaedah ini sama sahaja seperti syarat menyertai skim MLM (multilevel marketing).

Pelbagai model estet kini sedang diperkenalkan oleh pelbagai pihak seperti FGV dan Sime Darby, tetapi kita mesti sedar bahawa ladang besar mempunyai risiko yang lebih besar dan mudah dipengaruhi oleh kepentingan politik dan wang.

Pemantauan sukar dilakukan dan kesilapan boleh membawa kepada kejatuhan keseluruhan ladang. Ladang yang kecil mempunyai risiko kecil dan lebih mudah diuruskan.

Masalah petani kecil bukanlah mereka tidak pandai bertani tetapi mereka disekat oleh pelbagai faktor dan dieksploitasi.

Pihak berkuasa boleh membantu petani kecil menangani halangan ini tanpa perlu membentuk ladang besar yang berisiko tinggi.

Di negara besar seperti Amerika Syarikat dan Australia, saiz ladang besar dan jumlah ladang kecil. Apabila terdapat ladang yang bankrap, jumlah ladang semakin kecil dan pengeluaran berkurang dengan banyak.

Kerana itulah saiz ladang di banyak negara maju sekarang semakin kecil bukannya semakin membesar.

Soalan yang lebih fundamental sebenarnya adakah sistem ladang yang monokultur ini lestari dan boleh menjamin keterjaminan makanan dalam era ketidaktentuan cuaca dan penyakit tanaman yang berleluasa. Mampukah ia menangani cabaran perubahan iklim?

Daripada segi penjimatan kos, adakah satu hari nanti kita akan mengimport lebih banyak warga asing untuk bekerja di bendang dan kebun-kebun sayur ini seperti yang berlaku di Cameron Highlands?

Sepatutnya kita mesti kembali ke sistem pertanian yang lebih alamiah dan menyokong kepelbagaian agro biodiversiti yang lebih lestari.

Petani kecil perlu dibantu untuk meningkatkan hasil dan menambah pendapatan, bukan dengan mengambil tanah mereka dan secara perlahan-lahan menyuruh mereka berhenti jadi petani.

Pertanian alternatif secara berkelompok melalui pertubuhan kawasan dan koperasi adalah lebih baik daripada sistem pertanian estet komersial.

Petani kecil yang diuruskan secara sistematik dan lestari adalah penting sebagai benteng pertahanan untuk menghadapi cabaran perubahan iklim, penularan penyakit dan ketidaktentuan pasaran.

Risiko kegagalan operasi dan kewangan ladang besar, serta kemusnahan kesuburan tanah dan kepelbagaian bio lebih besar berbanding risiko pertanian skala kecil berkelompok yang produktif.

Dalam industri benih pula, usaha sedang dilakukan bagi melarang petani menyimpan dan menjual benih yang dihasilkan dari produk ladang mereka sendiri.

Hal ini akan dilakukan melalui pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 untuk menyelaraskannya dengan Sistem UPOV91 dan Penggubalan Akta Kualiti Benih. Dengan itu, penyimpan benih mesti memohon sijil dan lesen.

Kononnya, petani tidak pandai menghasilkan benih yang berkualiti dan menjadi punca penyebaran penyakit.

Syarikat asing juga didakwa tidak mahu melabur dalam industri benih negara kerana banyak kawalan undang-undang yang menghalang syarikat memperolehi keuntungan yang lebih baik.

Kita harus sedar kesan daripada undang-undang ini antaranya adalah para petani wajib membeli benih di kedai pada setiap musim dan ini akan menafikan kebebasan petani, meningkatkan kos dan menghalang kepelbagaian agrobiodiversiti.

Seperti yang diakui sendiri oleh yang berhormat timbalan menteri di parlimen, harga benih mungkin akan meningkat apabila langkah ini diambil, kononnya sebagai timbal balas kepada bekalan benih yang lebih berkualiti.

Apakah jaminan benih yang akan dibekalkan nanti benar-benar berkualiti?

Benarkah benih yang dihasilkan sendiri oleh petani melalui amalan pertanian turun-temurun tidak berkualiti?

Apa yang pasti petani hanya akan menambah hutang. Para pelabur asing pula akan lebih mudah mengeksploitasi pasaran dan biopiracy boleh berleluasa.

Sepatutnya undang-undang Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 sedia ada dikekalkan, tidak ada keperluan sama sekali untuk Malaysia menyertai Konvensyen UPOV91 yang hanya akan menafikan hak petani.

Banyak kajian menunjukkan kemajuan sektor benih tanaman tidak ada hubungan yang jelas dengan penyertaan sesebuah negara ke dalam konvensyen UPOV 91.

Pensijilan kualiti benih patut dilaksanakan secara sukarela dan kerajaan boleh mewujudkan undang-undang label kualiti benih dengan hukuman yang berpatutan untuk membanteras penipuan.

Sebahagian besar orang tengah pula membeli hasil petani dengan harga yang rendah dan menjual semula kepada pengguna dengan harga sehingga lima kali ganda.

Mereka tidak kisah jika petani memboikot dan tidak mahu menjual kerana mereka boleh wujudkan keadaan fake shortage dan kerajaan akan membenarkan import luar masuk dengan banyak ke dalam negara.

Margin untung daripada membeli dan menjual produk import yang murah dan berkualiti rendah ini lebih besar. Orang tengah yang zalim seperti ini mesti dicantas oleh pihak berwajib dan koperasi pertanian atau Pertubuhan Peladang mesti diperkasakan untuk membeli produk petani.

Kesimpulannya banyak faktor lain membantutkan kemajuan industri pertanian kita yang memerlukan perhatian serius dari pihak berwajib. Sudah sekian lama industri ini menjadi lubuk duit buat mereka yang gemar mengambil kesempatan ke atas petani dengan pelbagai cara.

Petani akan terus miskin. Yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin. Dapatkah kita mencapai Kemakmuran Bersama jika hal fundamental ini tidak ditangani dengan serius? – 2 Februari, 2020.

* Nurfitri Amir Muhammad ialah ketua koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia dan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen