Apa terjadi kepada haiwan diselamatkan daripada pemburu haram?


Kalidevi Mogan Kumarappa

Haiwan liar seperti orang utan, gajah dan kongkang sering menjadi mangsa pemburu haram untuk dimakan, menjadi ubat tradisional Cina, atau disimpan sebagai haiwan peliharaan eksotik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2020.

KEJAYAAN Ops Bersepadu Khazanah (OBK) membendung perdagangan haram hidupan liar juga turut menyaksikan cabaran proses pemulihan haiwan yang diselamatkan daripada pemburu haram.

Sejak OBK dimulakan pada September tahun lalu, sebanyak 1,145 haiwan berjaya diselamatkan dari pasaran daging hidupan liar, atau menjadi ubat tradisional Cina, atau bahkan disimpan sebagai haiwan peliharaan eksotik.

Operasi renjer daripada Jabatan Hidupan Liar (Perhilitan) dengan kerjasama unit anggota Orang Asli elit polis, Senoi Praaq, berjaya menyita barang haram bernilai RM23.2 juta dan 115 penangkapan setakat ini.

Pegawai Perhilitan Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata lebih 1,000 haiwan yang diselamatkan daripada pemburu haram, 487 daripadanya adalah burung, termasuk merak, kakak tua, bayan dan lain-lain.

Haiwan lain yang turut diselamatkan ialah 114 haiwan mamalia, termasuk musang pulut, lotong, babi hutan, kongkang, benturung (bearcat), landak, sugar glider, beruang matahari, kucing hutan.

Selebihnya ialah 26 reptilia dan 518 kura-kura dan labi-labi.

Zamzuri berkata, haiwan yang diselamatkan dihantar ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungaki, Perak dan Pusat Rehabilitasi Orangutan Sepilok di Sandakan, Sabah.

Pusat seperti Sepilok menjadi destinasi popular untuk pelancongan dan juga pendidikan.

“Malaysia pernah menjadi syurga bagi hidupan liar kerana hutan hujan tropika kita adalah salah satu daripada hutan hujan tertua di dunia dan habitat terbaik untuk haiwan liar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zamzuri berkata NWRC di Sungkai dibuka pada 2013 untuk tujuan ini dan untuk memulihkan hidupan liar yang dirampas semasa operasi penguatkuasaan.

“Pusat ini dibentuk selaras dengan peruntukan Akta Perdagangan Spesies Terancam dan merupakan salah satu kewajipan Malaysia dalam Konvensyen Antarabangsa mengenai Perdagangan Spesies dan Fauna Terancam.

“Fungsi pusat ini adalah berdasarkan 3R iaitu Rescue (menyelamat), Rehabilitate (pemulihan) dan Release (pembebasan).”

Zamzuri berkata NWRC di Sungkai sedang menjalani projek pembangunan tiga fasa dengan kos RM30.3 juta. Haiwan diselamatkan di sini menerima khidmat kakitangan 30 doktor veterinar daripada Perhilitan.

“Pada penghujung 2019, NWRC di Sungai mempunyai sejumlah 4,538 spesies hidupan liar,” katanya.

Zamzuri berkata beberapa haiwan yang memasuki program pemulihan didapati sukar dilepaskan semula ke habitat semulajadi mereka selepas membesar bersama penjaga manusia.

“Mereka lebih suka mengikut manusia, tidak dapat mencari makanan mereka sendiri dan mengalami kesulitan tidur dan ingin tidur dengan penjaga mereka.

“Kami perlu menangani semua ini semasa pemulihan mereka dan ia memerlukan masa,” katanya. β€“ 2 Februari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen