2 ditahan simpan haiwan dilindungi tanpa permit 


ANGGOTA Pasukan Gerakan Am Sibu menahan dua lelaki kerana memelihara dan menyimpan hiawan liar dilindingi tanpa permit yang sah dalam dua serbuan Ops Bersepadu Khazanah berasingan.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10 DSP Frediel Nyambong berkata seorang lelaki warga Indonesia  ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ladang Bawan, Off Jalan Nibong di Kanowit, dekat Sibu semalam kerana menyimpan dan memelihara burung murai yang merupakan spesis terlindung tanpa permit yang sah.

Dalam serbuan yang dilakukan pasukan yang diketuai oleh ASP Mohd Adirra Ramli pada 4.04 petang, suspek berusia 45 tahun itu mengaku sebagai pemilik 30 ekor burung murai tersebut.

Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM 24,000.

“Modus operandi suspek ialah menangkap dan menyimpan burung murai tersebut di dalam sangkar sebelum dijual kepada orang tengah. Kemudian burung murai tersebut akan diseludup masuk ke Indonesia,” kata Frediel kepada pemberita di Sibu hari ini.

Sementara itu pada 23 Januari lalu sepasukan anggota diketuai oleh ASP Mohd Zamani Baharom telah menyerbu sebuah di Jalan Tanjung Kunyit kerana dijadikan tempat penyimpanan seekor monyet dan seekor landak tanpa permit yang sah.

Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan dan kedua-dua hidupan liar yang dianggarkan bernilai RM1,200 dirampas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 29, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 yang membawa yang membawa hukuman denda RM10,000 dan satu tahun penjara jika sabit kesalahan.

Suspek dan haiwan yang dirampas diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) Bahagian Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut.– Bernama, 1 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen