PPSMI dasar lapuk warisan BN


CADANGAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang memangku tugas menteri pendidikan memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan langkah ke belakang. 

Gesaan itu juga merupakan idea lapuk peninggalan kerajaan lama yang telah ditolak oleh mana-mana pakar bahasa, sama ada bahasa asing mahupun bahasa ibunda.

Sangat penting agar seluruh jemaah menteri menolak gesaan pemangku menteri pendidikan ini dalam mesyuarat Kabinet, dengan tidak membiarkan ia datang daripada seorang yang pada masa sama merupakan perdana menteri. 

Bahkan, gesaan ini sama sekali tidak termasuk di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Jemaah menteri sangat bertanggungjawab untuk menggesa agar perkara utama dalam usaha reformasi dilakukan dan bukan kembali kepada dasar lama kerajaan lama. 

Antara kajian segera yang perlu dilakukan dan mencapai persetujuan bersama adalah seperti pengukuhan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta sekolah kebangsaan satu aliran yang perlu mengajar Bahasa Kebangsaan dan bahasa ibunda – seperti bahasa Cina, bahasa Tamil dan lain-lain – yang perlu kepada rakyat Malaysia.

Kerajaan juga wajar mengambil ketetapan bahawa semua dasar utama perlulah melalui perbincangan menerusi mesyuarat kabinet sebelum dikemukakan untuk wacana umum. Cara ini akan memastikan pentadbiran dan komunikasi kerajaan dilaksanakan dengan lebih teratur.

Perlawanan kepada dasar bahasa Inggeris untuk pembelajaran Sains dan Matematik yang pernah disaksikan di era kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah beban yang tidak perlu kepada kerajaan PH di era Malaysia baharu. – 1 Februari, 2020.

* Mohd Najwan Halimi, adalah ketua Pemuda PKR Selangor.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen