Senoi Praaq: 'The Silent Killer' buru pemburu haram 


Kalidevi Mogan Kumarappa

Lambang Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq atau 'The Silent Killer' yang menyertai Ops Bersepadu Khazanah bersama renjer Perhilitan bagi memburu pemburu haram di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2020.

POLIS Diraja Malaysia menggunakan salah satu pasukan khasnya - unit Orang Asli Senoi Praaq, yang juga dikenali sebagai “The Silent Killer” untuk memburu pemburu haram di negara ini.

Sejak September tahun lalu, unit berkenaan melakukan rondaan di hutan Malaysia bagi membanteras aktiviti pemburu haram bersama pegawai dari Jabatan Hidupan Liar (Perhilitan) di bawah Ops Bersepadu Khazanah (OBK).

Menurut sumber polis, penglibatan mereka menyaksikan kejayaan besar dalam menahan pemburu haram, yang mana penahanan dibuat hampir setiap hari di seluruh negara dan hasil hutan bernilai RM23.2 juta dirampas.

Siapakah anggota pasukan Senoi Praaq dan apakah yang membuatkan mereka istimewa?

Senoi Praaq adalah unit yang unik dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana “Senoi” bermaksud orang dan “Praaq” bermaksud perang dalam suku kaum Semai.

Pada awal penubuhannya, unit ini diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Pemilihan anggota diambil daripada masyarakat Orang Asli dari suku Temiar, Semelai, Temuan dan Semai.

Dilatih oleh pasukan elit SAS British, mereka menjadi penggerak navigasi hutan kepada pasukan SAS ini sewaktu zaman darurat. Anggota Senoi Praaq ketika itu dianugerahkan Beret Marun oleh SAS British kerana keberanian mereka.

Pakar dalam selok belok hutan, kemampuan mereka menjejak komunis memang tidak dapat dinafikan dan mereka digeruni musuh. Kebanyakan penjejak unit komando 69 berasal daripada unit Senoi Praaq.

Pegawai Medan Kompeni Delta Batalion 18 PGA, Rosdi Ghani.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2020.

Mereka digelar “Silent Killers” oleh CIA dan pernah digunakan secara rahsia oleh Amerika Syarikat dalam peperangan di Laos, dan ditinggalkan sehingga terpaksa menempuh perjalanan sukar untuk kembali sendiri ke Malaysia. Peristiwa ini dirakamkan dalam buku bertajuk “Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite”.

Kini, kemahiran sama yang digunakan untuk mengesan komunis di hutan Malaysia akan digunakan lagi, kali ini untuk membanteras pemburu haram.

OBK dilancarkan pada September lalu selepas renjer Perhilitan berdepan banyak bahaya ketika melakukan rondaan di hutan.

“Kami pernah menjalankan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia di bawah program sebelum ini, namun apabila ia ditamatkan, Perhilitan menjalankan rondaan sendiri. Kami berdepan banyak ancaman. OBK dilancarkan pada September lalu dan ia adalah operasi yang lebih teratur,” kata Pegawai Hidupan Liar Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan, Alfenzi Abd Razak kepada The Malaysian Insight.

Ia juga masuk akal untuk menggunakan Senoi Praaq kerana kepakaran mereka dalam menavigasi hutan tebal. Rondaan sejauh 20km persegi dijalankan selama 10 hari, dengan para renjer dan ahli Senoi Praaq bergerak 14 jam setiap hari. Pasukan bergilir setiap dua minggu.

Alfenzi berkata renjer Perhilitan banyak belajar dari Senoi Praaq untuk mengesan pemburu di hutan, meskipun pegawai-pegawai hidupan liar memiliki pengalaman sendiri ketika melakukan rondaan.

“Mereka mengajar kami bagaimana untuk mengenal ‘musuh’ di hutan berdasarkan khemah dan pakaian mereka. Pemburu haram Vietnam akan mengenakan pakaian celoreng tentera manakala pemburu Kemboja boleh dikenali berdasarkan khemah mereka,” kata Alfenzi.

Kegiatan memburu secara haram di hutan Malaysia adakalanya dilakukan pemburu dari Vietnam dan Kemboja yang menyelinap masuk ke kawasan hutan simpan dan membina penempatan sementara yang akan digunakan sebagai kem memburu, dan tinggal di sana selama satu atau tiga bulan dalam satu-satu masa.

Renjer Perhilitan dan Senoi Praaq diberi kuasa untk menembak pemburu haram sekiranya perlu, tambah Alfenzi.

Anggota Seni Praaq memiliki kepakaran dalam selok belok hutan dan menjejak pemburu haram.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Februari, 2020.

Mereka diberi latihan menggunakan senjata api oleh polis dan juga mengajar prosedur operasi standard lain ketika berdepan dengan pemburu haram.

Satu lagi tugasan di bawah OBK ialah membuang jerat serta jaring yang digunakan untuk menangkap haiwan.

“Jerat ini bukan sahaja membahayakan binatang malah ada pegawai kami juga pernah terkena jerat itu dan cedera,” kata Alfenzi dan menambah, ia turut digunakan untuk menjerat harimau, beruang, tapir, kambing gurun dan pelbagai mamalia besar lain.

Anggota Senoi Praaq turut menyelamatkan ahli pasukan lain.

“Kalau tidak kerana ahli skuad saya, saya pasti sudah mati,” kata Pegawai Medan Kompeni Delta Batalion 18 PGA, Rosdi Ghani yang berasal dari Kelantan, mengimbas kembali bagaimana beliau terjatuh ke dalam gaung dan diselamatkan.

Rosli berkata, meronda hutan dengan anggota Senoi Praaq memudahkan kerja kerana mereka sudah biasa hidup dalam hutan.

Kebiasaanya, pasukan Senoi Praaq dan renjer akan berada 10 hari dalam hutan dan berehat di pangkalan selama enam hari sebelum keluar semula.

“Mereka ada semangat yang kuat, sangat menghormati pegawai atasan dan mudah untuk ditugaskan,” kata Rosdi.

Anggota Senoi Praaq, Azhari Aziz dari suku Jah Hut dari Kuala Krau, Pahang berkata, beliau menyertai unit ini pada April tahun lalu kerana mahu menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang digunakan Orang Asli.

“Saya berminat untuk menyertai pasukan ini kerana tahu tugasnya yang lasak, latihan yang memerlukan kerja keras dan unik. Saya juga boleh mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman turun menurun dari suku kaum saya ketika menjalankan tugas di dalam hutan.

“Sebagai contoh, kami tidak memerlukan kompas atau peralatan canggih untuk mencari jalan keluar dalam hutan sebaliknya hanya berpandukan matahari dan aliran air, kami mampu mencari jalan keluar. Ada yang mampu mengesan sesuatu jenis haiwan dan tempoh ia berada di lokasi itu berdasarkan air kencingnya. Ini memang membantu dalam OBK juga,” katanya.

Anggota Senoi Praaq akan menjalani kursus kepolisan dan asas PGA masing-masing selama tiga bulan.

PDRM menyediakan dua batalion dari Senoi Praaq, Bidor, Perak terdiri 500 anggota bagi setiap batalion untuk pemantauan dalam OBK, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Acryl Sani Abdullah Sani.

“Senoi Praaq terbabit dalam tugasan khas ini kerana mereka sedia mahir sebagai penjejak dan mereka juga memang biasa hidup dalam persekitaran hutan.

“Ketua Polis Negara Abdu Hamid Bador memberikan mereka kata semangat iaitu inilah tanah tempat nenek moyang kita mencari rezeki hidup dan warga asing ini tidak bertanggungjawab merompak dan memusnahkan fauna mahal harganya di dalam negara kita.”

Acryl Sani berkata, gading gajah, kulit harimau, sisik tenggiling merupakan antara barangan dirampas dalam OBK di beberapa hutan simpan di semenanjung sejak September lalu. Setakat ini sebanyak 115 tangkapan dibuat.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perhutanan Negara 1984. – 1 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen