10 orang awam terbunuh dalam serangan udara di Syria


Serangan terbaharu itu menjadikan jumlah kematian orang awam akibat serangan tentera Rusia di Idlib meningkat kepada 21 orang sejak 24 jam lalu.– Gambar EPA, 30 Januari, 2020.

SEPULUH orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Rusia di wilayah Idlib, kata pemerhati.

Serangan itu mengenai kedai bakeri dan sebuah klinik perubatan di bandar yang dikuasai pemberontak itu.

Sekurang-kurangnya lima wanita dilaporkan antara yang terbunuh dalam serangan di bandar Ariha di wilayah Idlib yang mana tentera Rusia melancarkan serangan balas terhadap pemberontak, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Klinik Al-Shami mengalami kerosakan teruk selepas serangan itu dan tiga bangunan berhampiran turut musnah.

Serangan terbaharu itu menjadikan jumlah kematian orang awam akibat serangan tentera Rusia di Idlib meningkat kepada 21 orang sejak 24 jam lalu, menurut pemerhati.

Awal bulan ini, Rusia nafi melancarkan serangan di wilayah Idlib sejak gencatan senjata dipersetujui antara kumpulan pemberontak yang disokong Turki yang berkuatkuasa 12 Januari.

Namun gencatan senjata itu bagaimanapun sia-sia apabila Rusia dilaporkan meneruskan serangannya ke wilayah berkenaan.

Ribuan tentera Rusia dihantar ke Syria sebagai sokongan kepada tentera rejim.

Campur tangan ketenteraan oleh Moscow sejak 2015, membantu Presiden Bashar al- Assad kekal berkuasa dan mula menguasai semula wilayah yang dikuasai pemberontak pada awal konflik di negara itu. – AFP, 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen