Putrajaya kaji keperluan gantung semua penerbangan dari China, kata PM


Lee Chi Leong

Putrajaya masih mengkaji keperluan menggantung semua penerbangan dari China, setakat ini hanya penerbangan dari Wuhan dan Hubei digantung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Januari, 2020.

KERAJAAN masih belum membuat keputusan sama ada mahu menggantung semua penerbangan dari China susulan wabak Novel Koronavirus, kata Dr Mahathir Mohamad.

Kata perdana menteri lagi, kajian mengenainya perlu dibuat terlebih dahulu.

“Masih tiada keperluan untuk berbuat begitu. Kita sedang mengkaji sama ada kita perlu menggantung semua penerbangan atau hanya dari Wuhan dan Hubei,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Putrajaya akan mengikut jejak Sabah yang mengumumkan menggantung sementara kemasukan semua penerbangan dari China, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew dilaporkan berkata penggantungan sementara itu melibatkan semua penerbangan dari China ke Sabah.

Tambahnya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet Sabah semalam demi kepentingan rakyat.

Beliau menegaskan langkah itu hanya bersifat sementara dan dijangka dibatalkan selepas situasi terkawal.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata masih belum ada maklum balas dari China terhadap rancangan Malaysia membawa pulang rakyatnya dari Hubei.

“Kita baharu sahaja berbincang mengenainya. Belum ada maklum balas,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata Kabinet sudah membentuk dan menggerakkan jawatankuasa khas kemanusiaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Hubei.

Menurutnya, Wisma Putra sudah ditugaskan menentukan jumlah sebenar rakyat Malaysia di sana.

Ditanya sama ada Putrajaya juga akan membawa pulang rakyat Malaysia yang dijangkiti dan dirawat di China, Dzulkefly berkata: “Kita masih berbincang dengan kerajaan tempatan di China.” – 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen