Nelayan Teluk Bahang redah ribut selamatkan abang


Muzliza Mustafa

MALAM Ahad itu, ketika angin ganas menggila di serata Pulau Pinang dan air mula naik di beberapa bahagian di kawasan pulau dan tanah besar, sekumpulan nelayan di Teluk Bahang basah kuyup dalam hujan memerhatikan bot mereka teroleng-oleng dipukul ombak laut yang bergelora.

Pada masa sama, seorang daripada mereka, Mohd Zamir Mohd Sharif, meredah badai dan hujan lebat di tengah laut mencari abangnya dan seorang kawan yang sebelum itu turun untuk menangkap ikan.

Ketika orang lain bertarung nasib dengan cuaca menghitung untung rugi kemungkinan kehilangan bot kunci mata rezeki yang dipukul ombak ke tebing jeti, Zamir, 30, berdoa tidak akan kehilangan abang dan rakannya dalam ribut luar biasa itu.

Waktu sudah beranjak ke 9 malam tetapi abangnya, Mohd Fitri belum juga pulang-pulang. Dia turun ke laut kira-kira jam 6 petang, mencari bawal dan kurau. Begitulah pekerjaannya hampir setiap hari.

“Nampak teruk sangat. Angin balun ikut semua arah. Angin pusing pun ada. Laut gelombang. Hari gelap.

“Ketaq (takut) juga. Tak pernah jadi macam ini. Tapi (yang di tengah laut itu) abang saya kot, takkan nak biaq (biar) dia mati?

“Saya ajak tiga orang kawan, turun laut cari dia,” kata Zamir.

Biarpun cuaca buruk, liputan telefon masih elok. Fitri, 34, sempat menghubungi adiknya memberitahu arah tuju.

“Dia telefon dan suruh cepat sikit. Kata dia bot dah nak karam,” kata Zamir.

Tidak lama berselang, mereka dapat mengesan lokasi Fitri dan kawannya di laut. Bot itu sudah terbalik dan di atas badan bot itu, nampak dua lelaki itu bertenggek.

Selama kira-kira 20 minit kemudiannya, si adik dan tiga rakannya bertarung melawan ribut dan ombak cuba mendekati tempat bot karam itu. Bot itu karam kira-kira 4.8km dari pantai Teluk Bahang, di sebelah barat laut Pulau Pinang.

“Kalau lambat sikit saja, pakat hilanglah depa,” kata Zamir.

Dalam gelap malam dan ribut menggila itu, satu-satu penanda arah yang ada untuk dia sampai ke tempat bot abangnya karam itu ialah penunjuk laser yang ditala oleh kawan abangnya kepada mereka. Mereka ini keluarga nelayan. Dalam tubuh mereka mengalir darah nelayan. Ayah mereka yang kini berumur 60 tahun juga seorang nelayan.

Masyarakat nelayan di Teluk Bahang membekalkan ikan ke pasar dan restoran makanan laut berdekatan yang selalu jadi tarikan pelancong.

Bagi orang lain yang juga bergantung hidup dengan menangkap ikan, bot rosak atau apatah lagi hilang bermakna putuslah tali rezeki.

Kebimbangan itulah yang merunsingkan hati Haidar Mohd Isa, 23, tatkala duduk di jeti dalam hujan lebat malam Ahad itu, merenung dua bot yang dikongsi milik bersama kawannya, Zulfitri Yahya. Setiap sebuah bot itu nilainya RM50,000.

“Angin kuat sungguh, nak berdiri pun tak boleh,” kata Zulfitri, ayah kepada seorang anak itu.

Haidar menunggu dari 9 malam sampai 4 pagi. Dia tidak berseorangan. Ada kira-kira 30 tuan bot lain yang sama-sama menunggu di jeti itu. Di jeti nelayan Teluk Bahang, ada lebih kurang 80 bot dan 40 bot tunda, kalau semuanya berlabuh.

Tubuh mereka lencun dengan hujan dan tergigil-gigil melawan ketar tetapi tidak ada sesiapa yang sanggup beredar, meninggalkan bot tidak ditengok.

“Basah kuyup kena hujan. Tak tidoq (tidur), tak apa, yang penting bot tak hanyut atau rosak. Kami cari makan kot (macam) ni,” kata Haidar.

Menjelang 2 pagi, hujan mula reda dan laut yang tadi bergelora mula sedikit tenang. Sesetengah nelayan yang menunggu sepanjang malam mula pulang ke rumah. Tetapi Haidar menunggu untuk dua jam lagi.

“Saya tak mahu ambil risiko. Bot ini sajalah mata pencarian kami,” katanya.

Sebuah bot digunakan untuk menangkap ikan, sebuah lagi untuk membawa pelancong bersiar-siar. Daripada kedua-duanya, dapatlah Haidar dan Zulfitri kira-kira RM400 sehari yang dibahagi sama rata.

Nasib mereka baik. Kata Haidar, ada kawannya hampir hilang bot apabila tali sauh terputus. Mujur bot yang terlepas itu dilambung ombak jauh ke tengah laut, tersasar ke tebing kira-kira 150 meter dari jeti.

“Ada yang lain, bot tenggelam… pecah. Ini kami beli tali sauh baru. Ikat dua kali takut hujan lebat angin kencang lagi,” tambah Haidar.

Nasib Zamir yang mencari abangnya juga baik.

Selepas menyelamatkan Fitri dan kawannya dari bot mereka yang karam, mereka melawan gelombang yang menarik mereka jauh ke tengah laut.

“Saya terpaksa konar (pusing) ikut lain, pergi ikut Straits Quay,” kata Zamir, merujuk pada jeti di balik pulau tempat bot dan kapal mewah berlabuh.

Bot kecil mereka berlindung di situ sampailah angin ganas hilang gilanya dan hujan teduh.

“Kalau tanya saya antara yang ini atau tsunami 2004, lagi takut kali ini daripada tsunami.

“Sebab apa? Dulu kita kena ombak saja. Kali ini ada tiga benda – angin kuat, ombak besaq (besar), hujan lebat. Saya takut juga nak turun tapi saya tak sanggup hilang abang.”

Sesetengah nelayan akan menghitung rugi bot rosak. Fitri, botnya juga hilang tetapi adiknya bersyukur abangnya tidak ikut sama hilang. – 6 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen