Pakatan laksana dasar 'decriminalisation' penagih dadah sebelum akhir penggal


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kerajaan akan melihat penagihan dadah dari perspektif penyakit yang perlu dirawat dan bukan dikenakan tindakan undang-undang. – Gambar EPA, 30 Januari, 2020.

CADANGAN menjadikan kesalahan menagih dadah bukan satu jenayah atau “decriminalisation” di negara ini dijangka mampu dilaksanakan sebelum berakhirnya penggal pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata melalui perubahan dasar itu yang masih di peringkat permulaan, kerajaan akan melihat penagihan dadah dari perspektif penyakit yang perlu dirawat dan bukan dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya salah faham terhadap perubahan dasar itu kerana ia bukan untuk menghalalkan penagihan dadah, sebaliknya menggunakan pendekatan merawat mereka yang sengsara akibat dadah.

“Apa yang saya ingin jelaskan sekarang, polisi ini patut melibatkan semua pihak, kerajaan, pembangkang, ahli akademik, NGO, golongan profesional, penyedia perkhidmatan kesihatan yang patut mengambil langkah secara berperingkat dan komited. 

“Jangan keliru dengan isu ini. Ia tidak menghalalkan dadah sebaliknya mengambil langkah untuk mentakrifkan penagihan dadah sebagai satu penyakit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum “Rethinking Drug Policy in Malaysia” di Universiti Malaya, hari ini.

Menggelarkan langkah itu sebagai “dasar pembawa perubahan (gamechanger) yang penting”, beliau menegaskan ia tidak sepatutnya dianggap sebagai cubaan untuk membenarkan penggunaan dadah dari segi undang-undang.

“Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat mengedar dadah.

“Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah,” katanya.

Dzulkefly menambah lebih 30 buah negara di seluruh dunia telah memulakan langkah untuk dekriminalisasi dadah.

Beliau juga merujuk kepada hasil penyelidikan yang menunjukkan langkah itu tidak meningkatkan penggunaan dadah atau jenayah berkaitan dengannya.

Sebaliknya, beliau berkata penyelidikan mendapati dasar itu dapat mengurangkan kos dalam sistem keadilan jenayah dan memperbaiki sosial masyarakat.

Isu penggunaan dan ketagihan dadah perlu dilihat dari aspek perubatan.

“Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang menggunakan dadah dan ketagih- mungkin terdapat kecenderungan genetik, keadaan persekitaran seperti kemiskinan, perpecahan keluarga, tekanan di sekolah dan rakan sebaya boleh menyebabkan seseorang mula menggunakan dadah.

“Sudah tentu meletakkan mereka di dalam penjara tidak akan mengubahnya. Ia bukan semata-mata tentang soal seseorang itu memiliki tekad yang lemah,” jelasnya.

Katanya, penggunaan dadah perlu dirawat melalui kaedah sains dan perubatan sebelum menggunakan pendekatan menghukum dan penahanan.

Beliau turut menjelaskan usaha kerajaan itu tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya disokong untuk kepentingan bersama. – 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen