PEMBELIAN disebabkan panik mengakibatkan bekalan topeng muka, pembasmi kuman dan lain-lain produk menjadi kurang.
Hal ini disebabkan orang ramai cuba untuk mengelak daripada dijangkiti koronavirus yang boleh membawa maut, kata penjual dan pengedar.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa kebimbangan orang ramai semakin meningkat selepas tujuh kes disahkan di Malaysia.
Malaysia adalah di antara beberapa negara yang cuba membendung wabak koronavirus novel dari wilayah Wuhan di China yang kini menjangkiti lebih 5,000 orang dan mengorbankan kira-kira 132 orang di China.
Di beberapa kedai farmasi di Kuala Lumpur, topeng dijual dalam masa 30 minit setelah ia distok semula.
Seorang pekerja di AA Pharmacy memberitahu The Malaysian Insight keadaan menjadi lebih buruk oleh ibu bapa yang ingin membeli topeng muka untuk anak-anak ketika sekolah dibuka semula.
“Sekolah akan dibuka semula esok (hari ini) selepas cuti Tahun Baharu Cina ... ramai ibu bapa beratur seawal jam 8 pagi untuk membeli topeng,” kata kakitangan farmasi yang hanya mahu dikenali sebagai Wu.
Beliau berkata kedainya akan menghadkan bilangan topeng yang boleh dibeli pelanggan untuk mengelak terjadinya pembelian secara banyak.
“Kami mempunyai pelanggan yang simpan topeng sebelum ini, jadi kami buat keputusan untuk bataskan bilangan jualan bagi setiap pelanggan supaya setiap keluarga dapat memilikinya,” katanya.
AA Pharmacy menjual tiga jenis topeng muka - topeng muka N95, topeng tiga lapisan, dan topeng arang buluh. Ketika ini, hanya topeng N95 yang masih berbaki dengan harga RM5.
“Mungkin stok sedia ada akan dijual dalam masa dua hari dan setelah itu kita perlu dapatkan stok lebih banyak, dan kita tidak dapat menganggarkan berapa lama kita perlu menunggu stok baru kerana semuanya dari China.
“Kepada pemahaman saya, Jabatan Kastam menghadkan eksport pada masa ini,” kata Wu.
Selain topeng muka, stok pembasmi kuman juga berkurangan di pasaran.
The Malaysian Insight melawat farmasi di Kuala Lumpur, dan mendapati beberapa premis menghadapi kekurangan topeng muka.
Seorang pengurus kedai yang tidak mahu namanya disiarkan berkata kekurangan itu bermula sebelum Tahun Baharu Cina.
“Kita tidak boleh mendapatkan banyak stok. Kadang-kadang topeng dijual habis dalam masa 30 minit setelah menerima stok baru,” katanya.
Bagaimanapun, ahli farmasi menggesa orang ramai agar bertenang. Mereka berkata walaupun terdapat kepanikan untuk membeli topeng, terdapat bekalan yang cukup di pasaran.
“Pada masa ini, permintaan pasaran semakin meningkat kerana orang ramai bimbang tentang virus ini, sebelum ini, Influenza A, kini virus Wuhan, permintaan meningkat sangat normal,” kata salah seorang ahli farmasi.
The Malaysian Insight juga menghubungi pengedar topeng untuk memahami keadaan semasa pasaran.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight beliau kerap menerima panggilan telefon sejak beberapa hari lalu, bertanya sama ada stok topeng muka masih ada.
“Hampir setiap jam saya akan menerima panggilan daripada pelanggan, semuanya bertanya jika terdapat stok topeng muka. Masalahnya saya tidak ada stok.”
Beliau berharap kilang boleh meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi pertambahan permintaan. – 30 Januari, 2020.
Komen