8 lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh 


LAPAN lelaki berusia antara 23 hingga 39 tahun ditahan polis sejak semalam bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang mengorbankan dua nyawa di Batu 31, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Machang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata, kesemua mereka kini direman sehingga 2 Februari depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata polis juga kini sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas.

“Kesemua yang ditahan termasuk seorang anggota tentera yang ditahan di beberapa lokasi di Machang.

Siasatan awal yang dijalankan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan sebuah motosikal yang dirampas daripada satu kumpulan. Pergaduhan tercetus apabila motosikal itu yang diminta supaya dipulangkan dipercayai dikhianat (dirosakkan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, hasil siasatan awal, pergaduhan melibatkan dua kumpulan membabitkan seramai 10 hingga 12 orang itu berlaku akibat rasa tidak puas hati.

“Disebabkan rasa tidak puas hati, tercetus pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan sekitar pukul 12.30 tengah malam semalam sehingga menyebabkan dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun maut, manakala seorang lagi yang berusia 40-an cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Machang.

“Selain tangkapan, kita juga ada membuat beberapa rampasan senjata daripada suspek yang ditahan iaitu pisau lipat, pedang serta batang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan terbabit,” katanya.

Selain itu, Hasanuddin berkata, dua kereta jenis Perodua Myvi turut dirampas kerana dipercayai digunakan untuk melanggar salah seorang mangsa sehingga terbunuh.

Justeru, beliau berharap mana-mana pihak yang kebetulan berada di lokasi kejadian supaya tampil untuk memberi bantuan kepada polis bagi menyelesaikan kes dua kematian berkenaan.

Hasanuddin berkata sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Pegawai Turus D9 Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan, DSP Basar Salam di talian 019-9823320 atau mana-mana balai polis berdekatan. – Bernama, 28 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen