Dana Agensi Pengurusan Bencana Negara diguna untuk bantu mangsa banjir 


Desmond Davidson

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata dana berkenaan akan digunakan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada mangsa yang terjejas, dan menyediakan barangan keperluan seperti makanan, tempat perlindungan sementara, perubatan dan peralatan untuk operasi yang dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2017.

KERAJAAN persekutuan akan menggunakan dana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang, kata Ahmad Zahid Hamidi hari ini. 

Timbalan perdana menteri itu berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada mangsa yang terjejas, dan menyediakan barangan keperluan seperti makanan, tempat perlindungan sementara, perubatan dan peralatan, bagi operasi bantuan yang sedang dijalankan. 

Zahid yang juga pengerusi Nadma, yang ditubuhkan pada 2015 untuk mengkoordinasi semua agensi kerajaan dalam menangani bencana, berkata dana berkenaan akan diedarkan dalam tempoh enam jam selepas arahan diberikan oleh beliau. 

Katanya, mangsa yang belum menerima bantuan boleh menghubungi Nadma, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam dan polis. 

Zahid yang kini berada di Kuching dalam rangka lawatan kerja seharinya memberitahu pemberita selepas mesyuarat tertutup bersama pegawai kanan polis di ibu pejabat polis kontinjen negeri di Jalan Badruddin bahawa bantuan banjir tidak sepatutnya dipolitikkan. 

Katanya, kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP tidak sepatutnya mendakwa bantuan banjir adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, dan bukan negeri.

“Kami (kerajaan persekutuan) komited untuk membantu semua mangsa. Kami tidak melihat kepada warna kulit. Mangsa tidak peduli tentang parti politik.”

Terdahulu, pada perhimpunan Ekspresi Negaraku di Petrajaya, Zahid berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghubunginya pada jam 3.34 pagi untuk meminta bantuan kerajaan persekutuan bagi berdepan bencana banjir di negeri itu. 

Beliau berkata, selepas perbualan dengan Lim, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Zulkifeli Mohd Zin untuk menggerakkan angkatan tentera, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam, dan Zulkefli untuk mengkoordinasi operasi bantuan banjir.

Zahid berkata, pada jam 8.30 pagi, angkatan tentera, polis dan beberapa agensi persekutuan digerakkan ke lokasi terjejas dan Lim pada 12.41 tengahari mengesahkannya. 

Pulau Pinang berdepan dengan bencana itu susulan daripada hujan lebat yang berlarutan hampir 24 jam, menyaksikan kenaikan paras air antara 3 meter hingga 3.5 meter di beberapa kawasan di negeri itu.  – 5 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen