7 daripada 10 kes negatif koronavirus, kata Kementerian Kesihatan


Lee Chi Leong

Kementerian Kesihatan masih menunggu keputusan ujian ke makmal ke atas dua warga China yang sedang dikuarantin di Langkawi dan seorang lagi di Bintulu, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Januari, 2020.

UJIAN makmal ke atas tujuh daripada sepuluh kes disyaki dijangkiti koronavirus disahkan negatif, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Daripada tujuh kes negatif itu, lima dikesan pada Ahad, manakala dua kes lagi dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ahad lalu lima kes dikesan di Langkawi, Kuala Lumpur (2) dan Bintulu (1). Dua individu yang disahkan negatif itu berada di Hospital Kuala Lumpur, kata Dzulkefly.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan masih menunggu keputusan ujian ke makmal ke atas dua warga China yang sedang dikuarantin di Langkawi dan seorang lagi di Bintulu.

Setakat ini kekal empat kes disahkan positif koronavirus dan kesemua pesakit dari China itu sedang dirawat di dua buah hospital.

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 65 kes pesakit di bawah siasatan (PUI) jangkitan koronavirus.

“Tiga puluh empat kes membabitkan rakyat Malaysia, manakala 30 lagi warga China. Seorang pesakit warga Jordan,” kata Dzulkefly.

“Hanya satu daripada kes PUI disahkan positif, manakala 61 lagi negatif. Kita masih menunggu keputusan ujian makmal baki tiga kes.”

Menteri itu berkata tiga kes yang mempunyai hubungan keluarga dengan satu kes di Singapura yang disahkan positif koronavirus masih dikuarantin dan dilaporkan dalam keadaan stabil. – 28 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen