MALAYSIA tidak akan menghentikan import makanan dari China ketika kebimbangan terhadap koronavirus semakin memuncak, kata Salahuddin Ayub.
“Virus itu adalah melalui jangkitan manusia dan tidak melibatkan makanan,” kata menteri pertanian itu kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
“Tetapi kami sudah mengarahkan unit kastam sempadan melakukan pemeriksaan rawak terhadap barangan seperti daging atau buah-buahan yang masuk ke negara ini walaupun tidak ada bukti barangan ini menjadi sumber penyebaran virus.
“Ia hanya langkah pencegahan,” kata Salahuddin, selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Petronas dan Agrobank di Kuala Lumpur hari ini.
Petronas bekerjasama dengan Agrobank untuk menyediakan pembiayaan mikro sebanyak RM100 juta kepada kumpulan B40 yang ingin menjalankan aktiviti pertanian atau menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka.
Salahuddin berkata Malaysia juga tidak mengimport sebarang produk makanan dari kawasan yang dijangkiti koronavirus, Wuhan.
“Kita tidak ada import dari Wuhan atau Hubei,” katanya.
Pada 2017, jumlah import bagi makanan pertanian berjumlah RM51.3 bilion dan pada 2018, ia melebihi RM52 bilion.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa, import dari China pada 2019 (Januari-November) berjumlah RM159.63 bilion atau 20.6%.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata tidak ada keperluan untuk menghentikan sebarang import atau eksport dari China.
“Kita sudah mengawasi keadaan. Dan kita akan mengikut saranan Kementerian Kesihatan dan memutuskan untuk menyekat pergerakan dari Wuhan dan Hubei.
“Jika ini berterusan, akan ada sedikit impak tetapi saya tidak mahu membuat spekulasi apa kesannya dan kita perlu lihat dahulu,” kata Azmin. – 28 Januari, 2020.
Komen