.jpg)
PERSATUAN Kebajikan Komuniti dan Dialog (ACID) menghargai usaha Kementerian Sumber Manusia dalam memperkasakan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dengan membangunkan dasar baru yang lebih relevan dalam melaksanakan agenda TVET selaras dengan keperluan industri.
Ini telah digariskan dalam laporan Kemajuan Kementerian Sumber Manusia 2019 untuk mengukuhkan pelbagai sektor di bawah kementerian yang diketuai M. Kula Segaran.
Pendidikan TVET tidak pernah diperkasakan dengan berkesan sebelum ini dan Kementerian Sumber Manusia patut dipuji kerana usahanya. Ini juga selaras dengan semangat C 142 Konvensyen ILO mengenai pembangunan Sumber Manusia.
Walaupun usaha Kementerian Sumber Manusia tepat pada masanya,adalah penting juga untuk memahami bahawa pendidikan TVET dengan sendirinya tidak akan membawa perubahan yang diperlukan dalam landskap pendidikan negara, jika tidak ada integrasi antara latihan teknikal, konteks sosial dan etika kerja.
Integrasi yang sedemikian akan memupuk budaya kerja yang berkesan dan dinamik bila graduan mula bekerja.
Saya pernah menemui pelajar yang lulus dari kolej TVET. Saya dapati mereka kurang memahami apa yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya pilihan mereka.
Ini memerlukan sikap komitmen jangka panjang dalam pembangunan kerjaya dan kepentingan kemahiran interpersonal, komunikasi dan koordinasi yang mempunyai unsur-unsur kecerdasan emosi dan rohani.
Sebagai pengamal sumber manusia, saya telah menemuramah graduan muda yang sangat cenderung dalam bidang teknikal, tetapi tidak dapat menyatakan pengetahuan mereka dengan baik, selain tidak dapat mengingat kembali usaha kerja mereka di kolej atau universiti yang mengakibatkan sesuatu masalah diselesaikan atau kerja yang cemerlang yang menarik komen baik dari pihak atasan Kolej atau guru.
Mereka juga kurang pengetahuan umum mengenai peristiwa semasa di negara ini dan bagaimana mereka dapat menggunakan pengetahuan sedemikian untuk memperbaiki diri mereka dan organisasi yang mereka ada.
Apabila saya berada di United Kingdom pada tahun 2019, saya berpeluang bertemu dengan orang muda yang menjadi sebahagian daripada pertubuhan bukan kerajaan.
Saya terkejut melihat orang muda lelaki dan wanita berusia di antara 24 hingga 27 tahun mengetuai jabatan dalam organisasi korporat masing-masing, selain menjadi sebahagian daripada NGO yang berjuang untuk kepentingan komuniti mereka.
Dalam perbualan saya dengan mereka saya dapati kematangan yang terbentuk dari ilmu pengetahuan di luar bidang teknikal.
Oleh itu, adalah penting bahawa pendidikan TVET diintegrasikan dengan pembentukan watak, kesedaran sosial dan pembelajaran dinamik sosial-psikologi sesebuah organisasi.
Ia harus diikuti dengan pembelajaran yang reflektif melalui pendedahan pengalaman yang akan menguji sikap pelajar, dan juga pengetahuan sosial-organisasi. Ini adalah untuk memastikan bahawa pelajar TVET mempunyai pemahaman yang lebih luas tentang apa yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya mereka. – 27 Januari, 2020.
* Ronald Benjamin merupakan Setiausaha Pertubuhan kebajikan Komuniti dan Dialog.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen