EMPAT lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Filipina dipercayai pemburu haram ditahan selepas bertindak berani mendirikan sebuah khemah sebagai tempat rehat dalam kawasan Santuari Hidupan Liar Sukau dekat Kinabatangan.
Pegawai Pemerintah Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sepasukan polis dari batalion Tiger Platoon yang menjalankan Operasi Khazanah turut merampas beberapa senjata api dan peralatan lain serta seekor rusa yang telah dipotong dua di kawasan Sungai Tandu Batu dalam kawasan pusat pemeliharaan itu kira-kira 11.30 malam tadi.
“Rampasan termasuk selaras senapang bakakuk, sebatang besi barel bakakuk, sebutir peluru hidup, sebilah parang, sebuah bot berenjin 15 kuasa kuda berukuran enam meter (20 kaki) dan sebuah lagi bot berenjin 18 kuasa kuda berukuran 4.5 meter (15 kaki).
“Keseluruhan nilai rampasan diangggarkan RM33,000,” kata Mohd Nasaruddin dalam kenyataan di Kinabatangan, hari ini yang turut menjelaskan khemah berkenaan dirobohkan pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah yang menyertai operasi itu.
Suspek berumur 33 hingga 51 tahun bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan untuk disiasat menurut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nasaruddin menghargai kerjasama pengarah badan bukan kerajaan (NGO) Hutan-Projek Pemeliharaan Orang Utan Kinabatangan (Hutan-KCOP) Dr Isabelle Lackman dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pencerobohan hutan dan pemburuan haram. – Bernama, 27 Januari, 2020.
Komen