KPN nafi khidmat pengawal peribadi UTK Dr Mahathir ditarik balik


Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menafikan penarikan khidmat pengawal peribadi UTK Dr Mahathir dan berkata penarikan itu hanya membabitkan anggota polis biasa yang dipanggil untuk tugasan lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 November, 2017.

KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menafikan khidmat pegawal peribadi yang disediakan Unit Tindakan Khas untuk Dr Mahathir Mohamad ditarik balik, lapor Mingguan Malaysia.

“Ini tidak benar sama sekali. Khidmat pengawal peribadi yang melibatkan pegawai UTK masih berkhidmat untuk Dr Mahathir,” beliau dipetik sebagai berkata. 

“Hanya anggota biasa (pasukan polis) yang dipanggil balik untuk tugasan lain. Ia adalah prosedur biasa,” katanya 

Pada Rabu, Dr Mahathir menerusi akaun Facebooknya berkata polis telah menarik balik khidmat pengawal peribadi, yang merupakaan keistimewaan kepada semua bekas perdana menteri.

“Hari ini khidmat UTK ditarik balik. Perjuangan diteruskan,” kata pengerusi pakatan pembangkang Pakatan Harapan berusia 92 tahun itu. 

Tahun lalu, khidmat pengiring Dr Mahathir ditarik balik selepas menghadiri satu acara anti-kerajaan. 

Bekas KPN Khalid Abu Bakar berkata Dr Mahathir boleh memohon untuk pengiring polis trafik dan beliau hanya boleh mendapatkan khidmat berkenaan untuk menghadiri majlis rasmi kerajaan. 

Pengguna media sosial menyelar penarikan khidmat berkenaan pada Rabu.  – 5 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen