Azlina Mehtab sahut seruan demokrasi cabar Rina Harun


Zaim Ibrahim

Azlina mahu menggerakkan program lebih proaktif melalui aktiviti ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, dan kerohanian dalam Srikandi. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

PEGUAM, Azlina Mehtab Mohd Ishaq berazam untuk memperkasa sayap Srikandi Bersatu agar tidak hanya dilihat sebagai melukut di tepi gantang pada masa itu.

Itu adalah tekadnya dalam kempen menentang ketua sayap itu, Rina Harun dalam pemilihan parti yang bakal bermula tidak lama lagi.

Azlina, yang mesra dipanggil Kak Tab itu satu-satunya pemimpin wanita yang mengetuai Bersatu bahagian – di Kepala Batas – dan merupakan veteran politik di kawasan itu.

Anggota biro undang-undang Bersatu itu muncul di medan politik sebagai ahli Puteri Umno Pulau Pinang yang pertama dan menjadi ketua Puteri Umno negeri itu sejak awal 2000.

Graduan pengajian undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga mempunyai seorang adik lelaki yang aktif berpolitik, Khaliq Mehtab.

Khaliq merupakan ahli Bersatu yang kini wakil rakyat Bertam sejak memenangi kerusi itu pada Mei 2018.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Azlina berkata ramai anggota Srikandi mengeluh mengenai kepemimpinan sayap parti itu kerana tidak dianggap sebagai komponen penting.

Dakwanya, ramai ahli mengadu dengan kepemimpinan sayap parti yang lemah dan kebajikan yang tidak dihiraukan.

“Arah tuju Srikandi tidak distruktur dengan baik, sedangkan Srikandi sepatutnya menjadi tulang belakang dan benteng kekuatan parti.

“Saya tidak mahu, Srikandi hanya melukut di tepi gantang, ada tidak menjadi lebih, tiada tidak menjadi kurang,” katanya sewaktu ditemui.

Oleh itu, beliau berikrar untuk membolehkan Srikandi lebih lantang bersuara dengan struktur pentadbiran yang diperkemas.

Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

“Pertamanya, bagi memartabatkan kaum wanita, saya bercadang untuk meningkatkan penglibatan Srikandi di dalam pimpinan pentadbiran parti.

“Bersatu akan dilihat di mata masyarakat sebagai sebuah parti yang memberi peluang sama rata terhadap wanita,” kata Azlina.

Jelasnya, ini secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa Bersatu benar-benar ikhlas memperkasakan wanita.

Selain itu, beliau juga mahu menggerakkan program lebih proaktif melalui aktiviti ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, dan kerohanian dalam Srikandi.

Selain itu, Srikandi juga perlu berperanan sebagai mata dan telinga ahli parti serta rakyat dengan menjadi ejen untuk menyalur maklumat dan aktiviti kerajaan, kata Azlina.

“Melalui cara ini, Srikandi akan dilihat sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat,” jelas ibu kepada dua anak ini.

Bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang, beliau mahu Srikandi digerakkan dengan lebih aktif mendekati wanita, pengundi muda dan rakyat bagi meraih sokongan untuk Bersatu, katanya.

Ketika ditanya mengenai peluangnya untuk bersaing dengan Rina yang mempunyai jawatan menteri, Azlina berkata jawatan disandang lawannya itu bukan perkara penting dalam pertandingan ini.

Katanya, beliau hanya menyahut seruan demokrasi dengan mencabar Rina bagi jawatan tertinggi sayap wanita Bersatu itu, dan bukannya mencabar kepemimpinan atau keperibadian menteri itu.

Tegasnya, perkara lebih utama adalah untuk meraih sokongan akar umbi.

“Bukan soal populariti Kak Thab ataupun Rina, ia mengenai sokongan akar umbi. Apa guna kita diundi oleh rakyat dan ahli parti sekiranya kita gagal memberikan khidmat terbaik kepada mereka.

“Harus diingat tidak akan berjaya seseorang pemimpin itu sekiranya tiada sokongan akar umbi,” tambah beliau yang juga aktif dengan kegiatan badan sukarelawan dan sukan bermotor kuasa tinggi.

Dalam pemilihan Bersatu kali ini, Azlina juga bertanding untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian yang disandang sejak 2018.

Rina pada Selasa lalu mengumumkan akan mempertahankan jawatan ketua Serikandi yang disandang sejak 2017. – 27 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen