SEORANG pelajar tingkatan tiga ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir di air terjun Lata Jarum, Ulu Dong di Raub dekat Kuantan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata mangsa, Farid Haikal Yusri, 15, dipercayai lemas selepas hilang apabila terjatuh ke kawasan dalam akibat ditolak arus deras.
Beliau berkata mangsa bersama dua abang dan tujuh rakan yang berusia 15 hingga 24 tahun, semuanya beralamat di Sungai Buloh, Selangor tiba di air terjun itu untuk beriadah sekitar 10.30 pagi.
“Bagaimanapun, keterangan awal mereka yang bersama mangsa mendakwa mereka semua ditolak arus deras sehingga tergelincir ke kawasan lebih dalam kira-kira setengah jam selepas mula mandi.
“Kejadian menyebabkan mangsa gagal kelihatan menyebabkan abang dan rakannya cuba mencari namun gagal selain tiga daripada mereka terseliuh pada kaki akibat tergelincir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kama Azural berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi dan operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan empat pegawai dan 26 anggota terdiri daripada polis, bomba, bomba sukarela dan Jabatan Perhutanan Pahang.
Katanya, mayat mangsa ditemui pada 2.25 petang di bahagian empangan air terjun itu dan dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat.– Bernama, 26 Januari, 2020.
Komen