KERAJAAN belum berhasrat menyekat kemasukan pengunjung dari China untuk mengelak jangkitan virus Wuhan kerana keadaan di Malaysia masih terkawal, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan perdana menteri berkata, keputusan berdasarkan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai jangkitan yang berpusat di Wuhan, China itu.
“Kita ikut apa disaran WHO, (buat masa ini) belum sampai ke tahap itu. Kita sendiri pun sudah menghentikan kemasukan dari Wuhan, kita dah hentikan daripada mereka datang (ke Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Coronavirus (2019-nCoV).
Tambahnya, keadaan di dalam negara juga masih terkawal dan rakyat tidak perlu panik.
“Keadaan adalah terkawal dan kita tidak perlu panik.
“KKM menjalinkan kerjasama rapat dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan kementerian kesihatan negara-negara jiran berhubung dengan kluster penyakit ini,” tambahnya.
Beliau berkata, Malaysia sebelum ini mampu menangani wabak seperti SARS, virus Nipah dan Ebola.
Koronavirus yang berasal dari Wuhan di wilayah Hubei telah meragut 56 nyawa serta menjangkiti hampir 2,000 penduduk di China.
Empat warga China yang berada di negara ini turut disahkan positif dan kini dikuarantin di hospital di Malaysia.
Dr Wan Azizah juga berkata lebih banyak pengimbas haba akan ditempatkan di sempadan Johor-Singapura.
Sementara itu, rakyat Malaysia turut digesa agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar mengenai wabak itu di media sosial.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, rakyat perlu menyemak dahulu kesahihan maklumat sebelum dikongsikan. – 26 Januari, 2020.
Komen