TENTERA rejim Syria kini menghampiri pinggir bandar Maaret al-Numan yang menjadi kubu kuat terakhir pemberontak, kata pemerhati.
Bandar di kawasan gurun itu menjadi lokasi strategik yang menghubungkan Damsyik ke bandar kedua terbesar Syria, Aleppo.
Ia merupakan pusat bandar terbesar di barat laut Idlib, yang menjadi kubu kuat terakhir kumpulan pemberontak anti-rejim dan kini mempunyai kira-kira 3 juta penduduk.
Tentera rejim dan sekutu Rusia telah meningkatkan serangan terhadap wilayah yang dikuasai pemberontak itu sejak Disember tahun lalu.
Ratusan serangan udara turut dilancarkan di selatan Idlib dan barat wilayah Aleppo.
Dalam tempoh 24 jam lalu, pasukan tentera kerajaan itu menawan tujuh perkampungan di pinggir bandar Maaret al-Numan, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria pada Ahad.
“Mereka kini menghampiri pinggir bandar dan berada dalam jarak tembakan di sebahagian lebuhraya,” katanya.
Akhbar pro-rejim, Al-Watan melaporkan, pasukan tentera itu berada “sangat hampir” daripada bandar berkenaan.
Wilayah Idlib dan kawasan berhampiran iaitu Hama, Aleppo dan Latakiya dikuasai oleh kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS), yang diketuai bekas ahli al-Qaeda di negara itu.
Presiden Bashar Al-Assad mengulangi ikrarnya untuk merampas kembali seluruh Syria daripada kawalan pemberontak walaupun telah menandatangani beberapa perjanjian gencatan senjata.– AFP, 26 Januari, 2020.
Komen