PASANGAN kekasih yang dipercayai menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi perempuan ke dalam Sungai Perak berdekatan rumah Pam Lembaga Air Perak, Teluk Kepayang, Bota dekat Ipoh direman empat hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mahkamah Majistret Batu Gajah membenarkan permohonan reman dan memerintahkan kedua-dua suspek direman sehingga Rabu ini.
Beliau berkata, operasi mencari mayat bayi yang dipercayai dibuang ke dalam Sungai Perak awal pagi semalam diteruskan 10 pagi ini dengan kekuatan lima anggota polis dan lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas usaha mencari yang dijalankan semalam gagal menemukan mayat bayi itu.
Semalam, polis menahan sepasang kekasih berusia 22 tahun di rumah masing-masing di sekitar Seri Iskandar selepas memeriksa rumah suspek wanita susulan maklumat mengenai bau kurang menyenangkan.
Siasatan awal mendapati wanita itu yang melahirkan bayinya ketika kandungan berusia tujuh bulan Selasa lepas, bertindak membungkus bayi yang meninggal dunia selepas dilahirkan itu dan menyimpannya selama tiga hari di dalam almari.
Wanita itu kemudiannya menyerahkan mayat bayi itu kepada teman lelakinya untuk dibuang ke dalam sungai. – Bernama, 26 Januari, 2020.
Komen