PEMILIHAN sulung parti Bersatu bermula hari ini dengan penamaan calon bagi lebih 7,000 jawatan di semua peringkat bahagian, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya Syed Hamid Albar.
Daripada 7,371 jawatan itu, sebanyak, 2,835 jawatan terdiri daripada jawatan peringkat jawatankuasa bahagian dan 2,268 jawatan bagi setiap sayap Srikandi dan Armada bahagian, katanya.
“Pencalonan bagi peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi dari peringkat presiden hingga ahli jawatankuasa pusat Bersatu akan dibuka pada 16 Mac.
Proses penamaan calon bermula pada pukul 9 pagi dan semua borang akan disaring selepas tempoh itu tamat jam 2 petang, katanya.
“Calon juga boleh menarik diri dalam tempoh bertenang bermula 27 Januari hingga 29 Januari ini,” kata Syed Hamid lagi.
Syed Hamid berkata, setiap borang pencalonan yang diterima hari ini akan diserahkan kepada Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Parti Pusat yang bertanggungjawab menjalankan saringan.
“Senarai lengkap nombor calon yang diluluskan kelayakan bertanding akan dimuktamadkan pada 1 Februari 2020 iaitu pada hari Wilayah Persekutuan,” katanya.
Seterusnya, senarai rasmi akan dihantar kepada jawatankuasa pemilihan peringkat pusat dan peringkat negeri untuk diumum dan dipamerkan kepada semua ahli, katanya.
Bersatu mempunyai sejumlah 891 bahagian yang layak bersidang di seluruh negara.
Parti itu juga dijadualkan akan menganjurkan perhimpunan agung tahunannya selama empat hari, yang akan bermula 25 Jun depan
Selepas proses pencalonan hari ini, mesyuarat peringkat cawangan akan bermula pada 15 Februari hingga 29 Mac manakala mesyuarat di peringkat Bahagian Bersatu pada 18 April.
Seramai 363,167 ahli layak mengambil bahagian dalam persidangan kali ini. – 26 Januari, 2020.
Komen