20% kenaikan pelancong China cetus kebimbangan wabak Wuhan


Khoo Gek San

Wabak Wuhan yang melanda China sudah menjadi wabak rentas sempadan, sehingga kini membunuh 17 orang dan menjangkiti lebih 500 orang di negara itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 24 Januari, 2020.

PEMAIN industri pelancongan dalam negara tidak sabar menanti ketibaan pelancong China yang memilih untuk menghabiskan cuti Tahun Baharu China di Malaysia, walaupun wujud kebimbangan tentang penyebaran wabak virus misteri di China.

Wabak Wuhan itu setakat ini sudah membunuh 18 orang dan menjangkiti lebih 580 orang di China sahaja. Virus yang mempunyai simptom seperti pneumonia itu dipercayai berasal dari pasar daging haiwan liar di Wuhan, kemungkinan dari ular.

Kes jangkitan rentas sempadan sudah dilaporkan berlaku di Thailand, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Singapura.

Jumlah pelancong China ke Malaysia diramal meningkat sehingga 20% sepanjang cuti 15 hari Tahun Baharu Cina, berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut presiden Persatuan Malaysia Inbound Chinese Association (Mica) Angie Ng.

Malaysia dijangka menjadi destinasi pilihan kerana ketidakstabilan di Hong Kong serta sentimen anti China di Taiwan selepas pilihan raya presiden negara itu baru-baru ini.

“Jumlah pelancong ke Malaysia dijangka naik lebih 20% berbanding tahun lepas, walaupun sukar untuk menentukan berapa ramaikah mereka dari Wuhan,” kata Ng kepada The Malaysian Insight.

Wuhan adalah salah satu bandar paling padat dan sedang membangun di tengah China, ia juga adalah hub pengangkutan negara itu menjadikannya lokasi strategik penyebaran virus.

Lebih banyak kes jangkitan koronavirus dilaporkan berlaku di seluruh China, malah kerajaan negara itu sudah mengesahkan wujud kes jangkitan manusia-ke-manusia.

Cuti panjang Tahun Baharu China menimbulkan kebimbangan wabak Wuhan akan tersebar sekiranya tiada tindakan segera diambil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 24 Januari, 2020.

Presiden Persatuan Pelancongan China Malaysia Albert Tan Sam Soon pula berkata pelancong dari wilayah lain negara itu berisiko membawa penyakit itu dan menggesa kerajaan Malaysia memastikan kawalan dan pemeriksaan ketat pintu sempadan negara dan lapangan terbang.

Katanya, Malaysia mempunyai pengalaman mencukupi mengendalikan kes wabak rentas sempadan kerana pernah terheret ke dalam wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2003.

“Lapangan terbang di Malaysia dan pemeriksaan sempadan perlu diletakkan dalam amaran tertinggi dengan pengesan suhu badan kerana ramai pelancong China akan mengambil kesempatan bercuti sempenan cuti Tahun Baharu.

“Wuhan sudah mengenakan kuarantin besar-besaran, menutup semua pengangkutan awam dalam usaha mengekang virus itu,” kata Tan.

Beliau turut menggesa semua syarikat pemandu pelancong tempatan mengambil langkah berjaga-jaga seperti membersihkan kerusi bas pelancongan setiap hari dan memastikan pelancong kerap menggunakan pembersih tangan.

“Pemandu pelancong dan pemandu bas perlu memberikan keselesaan dan kaedah pencegahan kepada pelancong, seperti cecair pencuci tangan dan mengingatkan mereka supaya kerap menggunakannya,” tambah Tan.

China sudah menutup sepenuhnya pintu keluar masuk Wuhan bagi menghalang penyebaran wabak. – Gambar EPA, 24 Januari, 2020.

Pesta Musim Luruh di China yang disambut serentak dengan Tahun Baharu China bermula 10 Januari sehingga 18 Februari akan menyaksikan lebih tiga bilion orang keluar dari negara itu, lapor media China.

Tan berkata, walaupun Wuhan sudah dikenakan kuarantin penuh, akan ada pelancong dari bandar lain kerana banyak penerbangan terus ke Malaysia sudah wujud. Bandar itu termasuklah Guangzhou, Shanghai, Shenzhen, Xiamen, Quanzhou, dan Beijing.

Pada Khamis lalu, China menghentikan semua perjalanan keluar dari Wuhan.

Sabah tumpuan pelancong

Menurut Ng pula, Sabah dijangka menjadi lokasi pilihan pelancong kerana terdapat penerbangan terus dari bandar China ke Kota Kinabalu disediakan pelbagai syarikat seperti Loong Air dan Xiamen Air.

Loong Air baharu sahaja melancarkan penerbangan terus dari Xi’an ke Kota Kinabalu, dengan penerbangan pertama dijadualkan berlaku pada Tahun Baharu China ini membawa hampir 2,000 orang, kata Ng.

Syarikat penerbangan itu mempunyai tiga penerbangan seminggu ke Kota Kinabalu, dengan 170 kerusi setiap pesawat.

Sabah diramal jadi destinasi pilihan pelancong China kerana terdapat banyak penerbangan terus dari negara itu ke Kota Kinabalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2020.

Ng menambah yang syarikat pelancongan perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memastikan kesihatan pelancong.

“Kita perlu ingatkan pemandu pelancong untuk perhatikan keadaan fizikal pelancong dan bersedia membuat tindakan susulan (berjumpa doktor atau pusat kesihatan).”

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan juga meramalkan peningkatan pelancong China tahun ini.

Ketua Pengarah Musa Yusof berkata, berdasarkan tempahan penerbangan, jumlah pelancong China dijangka meningkat sebanyak 4.4% pada suku pertama cuti Tahun Baharu China iaitu daripada 24 sehingga 30 Januari.

Dalam perkembangan terbaru, AirAsia dan Malindo Air mengumumkan pembatalan semua penerbangan keluar masuk Wuhan, semalam.

Pembatalan itu dibuat susulan sekatan perjalanan dikenakan China ke atas penduduk Wuhan. – 24 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen