PERTIKAIAN isu harga air mentah antara Malaysia dan Singapura kini mula menunjukkan perkembangan positif apabila Putrajaya menghantar tawaran yang disemak semula kepada republik itu baru-baru ini, kata sumber.
Tawaran itu akan menyemak semula Perjanjian Air Sungai Johor 1962 yang dihantar oleh kerajaan Malaysia pada awal bulan ini dengan tarikh akhir ditetapkan pada 31 Januari 2020
Sumber yang rapat dengan rundingan itu berkata maklum balas awal dari Singapura adalah positif.
“Malaysia dan Singapura kini meneliti untuk mencapai perjanjian,” kata sumber itu.
Satu pertemuan antara Malaysia dan Singapura berhubung isu itu dijangka diadakan selepas cuti Tahun Baharu Cina.
Pasukan rundingan Malaysia terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Luar dan Kementerian Sumber Asli, Tanah dan Air.
Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk menyelesaikan isu pertikaian kajian semula harga air selepas Retreat Pemimpin Malaysia-Singapura kesembilan pada April 2019.
Singapura berulang kali membantah usaha menaikkan harga air mentah dengan mengatakan Malaysia menyerahkan haknya pada 1987 apabila memilih tidak mengkaji semula harga air itu.
Namun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu itu pada 2018 selepas Pakatan Harapan menawan Putrajaya.
Dr Mahathir berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura adalah tidak masuk akal.
Mengikut Perjanjian Air 1962, Singapura berhak menerima sehingga 250 juta galon air sehari dari Sungai Johor.
Buat masa ini, Singapura membayar 3 sen bagi 1000 galon air mentah.
Kemudian republik itu menjual air terawat kepada Johor dengan harga 50 sen per 1,000 galon sebagai menampung kos merawat air tersebut.
Sebagai balasan, Johor berhak menerima air terawat sehingga 2% atau 5 juta galon sehari daripada jumlah air yang dibekalkan ke Singapura.
Bagaimanapun Singapura membekalkan 16 juta galon sehari kepada Johor. Perjanjian itu tamat pada 2061.
Pada September tahun lalu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah memberitahu Nikkei Asian Review bahawa Putrajaya akan menghantar tawarannya secepat mungkin dan mengulangi perkara itu apabila menghantar kad laporan Wisma Putra 2019 pada awal bulan ini. – 24 Januari, 2020.
Komen