ICJ beri Myanmar 4 bulan cegah pembantaian Rohingya


ICJ membenarkan tiga daripada enam permohonan Gambia untuk mendapatkan perintah sementara bagi melindungi Rohingya di Myanmar. – Gambar AFP, 23 Januari, 2020.

MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi masa empat bulan kepada Myanmar untuk mengambil langkah pencegahan menghentikan pembantaian ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya, dan memastikan agar mereka yang masih berada di negara itu tidak diapa-apakan.

Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf yang mengetuai barisan 15 hakim berkata ICJ mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pertuduhan Gambia terhadap Myanmar yang didakwa melakukan jenayah genosid ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya.

Dalam masa empat bulan ini, Myanmar dikehendaki menyerahkan laporan pelaksanaan langkah pencegahan seperti yang diperintah oleh ICJ hari ini, yang salinannya hendaklah diserahkan juga kepada Gambia untuk ulasan.

“Susulan laporan pertamanya, yang hendaklah dikemukakan selepas empat bulan daripada tarikh perintah ini dikeluarkan, Myanmar akan mengemukakan satu laporan berkaitan langkah-langkah yang diambilnya selepas setiap enam bulan,” kata hakim itu ketika ICJ bersidang di The Hague hari ini.

Menurut Yusuf, orang Rohingya yang dianiaya adalah ahli kumpulan yang dilindungi di Myanmar di bawah Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa Bersatu 1948.

Beliau bagaimanapun berkata perintah mahkamah itu bukan keputusan muktamad ke atas tanggungjawab dan salah laku Myanmar dalam isu genosid.

“Myanmar hendaklah memastikan bahawa tenteranya atau mana-mana organisasi atau kumpulan tidak teratur yang tertakluk di bawah kawalannya tidak melakukan sebarang perbuatan di bawah perkara pertama, atau perbuatan berkonspirasi untuk melakukan genosid, melakukan genosid atau cuba melakukan genosid atau bersubahat melakukan genosid,” kata hakim itu.

ICJ juga mengarahkan Myanmar untuk mencegah bukti genosid daripada dimusnahkan.

Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf (tengah) yang mengetuai 15 barisan hakim berkata mahkamah mempunyai bidang kuasa yang memadai untuk memutuskan permohonan langkah segera yang dikemukakan oleh Gambia. – Gambar EPA, 23 Januari, 2020.

Keputusan ICJ ini menyusul dapatan suruhanjaya siasatan di Myanmar beberapa hari lalu bahawa ada sesetengah anggota tentera mungkin terlibat dalam jenayah perang yang didakwa tetapi ia tidaklah sampai membabitkan pasukan tenteranya.

Semalam, lebih 100 badan masyarakat di Myanmar mengeluarkan kenyataan bersama mendukung kes di ICJ.

Mereka tidak yakin sistem kehakiman di Myanmar mampu mengendalikan kes sebesar itu malah sebaliknya membuka ruang kepada pelakunya meneruskan keganasan ke atas minoriti.

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi tampil di mahkamah di The Hague bulan lalu untuk mempertahankan kerajaan daripada tuduhan bersabit operasi tentera terhadap Rohingya pada 2017.

Kes terhadap Myanmar ini dikemukakan oleh Gambia selepas 740,000 pelarian Rohingya melarikan diri berlindung di sempadan Bangladesh.

Keputusan ICJ hari ini dilihat langkah pertama dalam usaha menegakkan keadilan yang mungkin memakan masa bertahun-tahun di mahkamah itu.

Gambia mengemukakan kes kepada ICJ dengan dukungan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam. Ia juga mendapat sokongan Kanada dan Netherlands.

Semasa perbicaraan bulan lalu, Gambia mendakwa Myanmar mencabul Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa Bersatu 1948. Ia memohon mahkamah campur tangan untuk mengelak pembantaian itu berulang. Ia juga memohon perintah mahkamah supaya Myanmar tidak menghapuskan bahan bukti.

Dalam pembelaannya Suu Kyi berkata Myanmar mampu menyiasat sendiri jenayah yang didakwa.

Awal minggu ini, suruhanjaya siasatan yang dibentuk di Myanmar mengumumkan beberapa anggota keselamatan telah melakukan jenayah perang namun ia tidak sampai ke tahap genosid.

Myanmar selama ini mendakwa operasi tentera ke atas Rohingya bertujuan membanteras kumpulan pemberontak yang sebelum itu menyerang dan membunuh anggota tenteranya. – 23 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen