DUA pegawai dan seorang anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima sogokan sebagai balasan untuk membebaskan tiga pekerja asing tanpa izin tahun lalu.
ASP Ramesh Nagayah dan Inspektor Mohamad Syafiq Solah serta Lans Koperal Muizzudin Mohamad membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mereka yang sebelum ini bertugas di Balai Polis Daerah Petaling Jaya didakwa menerima suapan daripada seorang yang dinamakan sebagai Kumar Cheladorai Rajagopal.
Tertuduh pertama Ramesh, bekas pegawai penyiasat, berdepan empat tuduhan berkaitan rasuah serta dua tuduhan pilihan.
Tertuduh kedua Shafiq juga dikenakan empat tuduhan dan tiga tuduhan pilihan sementara Muizzudin berdepan masing-masing satu tuduhan dan tuduhan pilihan.
Mereka dituduh mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Menurut kertas pertuduhan, Ramesh yang kini berkhidmat di Balai Polis Daerah Batu Gajah, Perak dituduh cuba meminta sogokan berjumlah RM9,000 dari Kumar untuk membebaskan tiga pekerja asing pada jam 4.30 petang, 28 Mei 2019.
Beliau juga dituduh menerima RM1,500 dari Parimanan pada masa dan tarikh sama untuk membebaskan tiga pekerja asing.
Ramesh dan Shafiq turut didakwa bersama-sama menerima RM3,000 dari Kumar pada jam 10 malam, 30 Mei 2019 untuk memastikan pembebasan pekerja asing terbabit.
Kedua-dua mereka dituduh menerima RM4,000 pada 4 Jun 2019 dari Kumar untuk tujuan sama.
Sementara itu, Shafiq juga didakwa menerima RM3,000 lagi dari Kumar pada 3 Jun 2019 untuk pembebasan pekerja asing itu.
Shafiq dan Muizzuddin juga didakwa bersama-sama kerana menerima RM2,000 dari Parimanan pada 30 Mei 2019.
Untuk semua pertuduhan, ketiga-tiga anggota polis itu didakwa di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000, yang mana satu lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pilihan, Ramesh, Shafiq dan Muizzuddin didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Ramesh didakwa menerima tanpa pertimbangan RM1,500 dari Parimanan pada 28 Mei dan RM3,000 dari Kumar pada 3 Jun tahun lepas.
Shafiq pula berdepan tuduhan serupa menerima antara RM3,000 dan RM2,000 pada 30 Mei dan RM3,000 pada 3 Jun lalu.
Muizzudin pula didakwa kerana menerima RM2,000 pada 30 Mei.
Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Hakim Rozilah menetapkan ikat jamin RM3,000 untuk setiap pertuduhan utama dan menetapkan pengurusan kes pada 6 Mac 2020.
Pendakwaan dibuat Mohd Suffian Jaafar dan Fadzley Jalil.
Ramesh diwakili peguam Asmadi Hussein dan Azrul Zulkifli Stork, manakala Shafiq dan Muizzuddin pula diwakili Ridha Abdah Subri. – 23 Januari, 2020.
Komen