Penduduk Kg Bharu tak yakin pelan pembangunan akan jalan


Mohd Farhan Darwis

Kg Bharu adalah kawasan rebutan tengah Kuala Lumpur yang kini dihimpit tuntutan pembangunan dan kebajikan penduduk asalnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2020.

PENDUDUK Kampung Bharu, perkampungan tradisional Melayu di tengah Kuala Lumpur yang hendak dimajukan oleh kerajaan, tidak yakin Kementerian Wilayah Persekutuan akan memuktamadkan pelan pembangunan yang diumum akan dilaksanakan pada Jun ini.

Mereka juga musykil dengan kenyataan menterinya Khalid Samad yang memberi gambaran seorang daripada setiap dua pemilik tanah telah setuju menyerahkan tanah mereka untuk kerajaan bangunkan.

“Menteri kata 50% setuju itu pun tidak tepat. Mereka nak lihat terma-terma perjanjian dalam dokumen jual beli dahulu, kemudian baru mereka akan buat kata putus.

“Silap-silap selepas lihat dokumen itu daripada 50% hanya tinggal 10% yang bersetuju,” kata Setiausaha Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampong Bharu (Pewaris) Zainudin Ismail.

Zainudin mendakwa, gambaran 50% yang dikatakan Khalid itu sekadar wayang untuk mendapatkan persetujuan penduduk menyerahkan tanah mereka kepada kerajaan.

“Itu propaganda untuk menakut-nakutkan penduduk, seolah-olah nak menunjukkan ramai yang bersetuju dan sedia menyerahkan tanah mereka kepada kerajaan untuk dibangunkan.

“Khalid cuba nak gunakan psikologi,” kata Zainudin, kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah setakat ini tiada sebarang perkembangan terkini berhubung isu itu, melainkan taklimat kecil-kecilan anjuran Perbadanan Kampung Bharu (PKB).

Itupun, katanya, hanya mengitar semula pengumuman Khalid, ketika membentangkan tawaran terbaru kerajaan untuk mengambil alih tanah tersebut.

“Pemilik dan pewaris nak lihat terma-terma jual beli, ini yang diterangkan hanya maklumat lama yang dikitar semula, tiada langsung perkara baharu,” katanya.

Menurut Zainuddin, banyak isu yang belum dapat kerajaan selesaikan, termasuk pengagihan pembayaran tanah yang mempunyai penama yang ramai.

“Beliau rasa nak selesaikan isu faraid, pembahagian hak ke atas tanah boleh selesai dalam tempoh 6 bulan?

“Bulan Jun nanti isu ini pasti belum selesai, saya boleh beri jaminan,” kata Zainudin lagi.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mendakwa 50% penduduk Kg Bharu bersetuju dengan pelan pembangunan semula, dakwaan yang dinafikan persatuan penduduk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2020.

Pada 12 Januari lalu, Khalid berkata, daripada hasil perjumpaan kecil-kecilan dengan penduduk, 97% juga menyatakan kesediaan menjual tanah bagi menjayakan pelan pembangunan tersebut.

Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada kalangan pemilik tanah di kawasan itu, pelan pembangunan Kampung Bharu akan dimuktamadkan seawal Jun tahun ini.

“Hanya melalui kaedah pembangunan yang dicadangkan Pewaris akan dapat menyelesaikan isu ini, termasuklah pembahagian harta dan faraid,” kata Zainudin.

Sehubungan itu katanya, Pewaris akan mengaturkan pertemuan dengan semua pemilik dan pewaris tanah Kampung Bharu pada 1 Februari ini di Kelab Sultan Sulaiman bagi mendapatkan persetujuan mereka.

“Waktu itu, kita akan dapatkan persetujuan daripada pemilik untuk guna pakai pelan yang Pewaris rancang, kalau mereka setuju kita akan bawa jumpa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” kata Zainudin lagi.

“Penduduk tunggu terma dalam surat perjanjian jual beli, sekarang masih belum keluar lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik tanah Kampung Bharu yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 48, turut menjangkakan isu itu akan berlarutan sehingga proses mendapatkan persetujuan secara individu untuk menjual tanah mereka.

“Saya rasa tidak sampai 50% yang bersetuju, jumlahnya kurang daripada itu, macam keluarga saya pun kami ada berbincang, tetapi kami mahu melihat dulu macam mana keadaannya,” kata Khairul.

Pelan pembangunan semula Kg Bharu kini dalam kesamaran selepas ramai penduduk tidak yakin akan janji kerajaan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2020.

Beberapa kebimbangan yang disuarakannya adalah kebimbangan tanah yang diserahkan tidak dibangunkan dan mereka akan kehilangan tanah buat selama-lamanya.

“Penduduk tunggu dan lihat, apa akan berlaku sekiranya kita setuju serah tanah, tapi tanah tidak dibangunkan, bayaran penuh pun tidak dapat lagi.

“Kalau berlaku peralihan kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-15, apa akan berlaku kepada perjanjian yang kami sudah tandatangani?” soalnya.

Pada Oktober tahun lalu, Khalid mengumumkan harga tawaran terakhir bagi pembelian tanah Kampung Bharu bernilai RM1,000 setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum itu.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Selain itu, mana-mana pemilik yang membeli hartanah di kawasan pembangunan itu juga akan diberikan diskaun sebanyak 15%, kata Khalid.

Lokasi strategik Kg Bharu jadi rebutan pemaju, tetapi penduduknya tidak sedia menjadi mangsa kerakusan pembangunan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2020.

Pada 21 September sebelum itu, Khalid mengumumkan tawaran kepada pemilik tanah Kg Bharu, yang turut meliputi empat tawaran yang diberikan kepada pemilik iaitu pulangan secara tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, serta pulangan sebagai pemegang saham dalam SPV.

Pembangunan Kampung Bharu akan melibatkan tanah seluas 153.46 ekar, yang akan dibina antaranya sebuah menara mercu tanda 90 tingkat.

Berdasarkan konsep pelan pembangunan yang dicadangkan, terdapat 10 komponen pembangunan merangkumi Taman Warisan Kampung Bharu; Pusat Seni, Persembahan, dan Kebudayaan Melayu; Kompleks Warisan Melayu; dan Residensi “Park View” yang merupakan kediaman ekslusif berhadapan Taman Warisan Kampung Bharu.

Selain itu, komponen kelima turut merangkumi Residensi Wilayah yang memuatkan kawasan perumahan mampu milik; Residensi Sederhana Padat; Residensi Kepadatan Tinggi; Kawasan Pembangunan Bercampur; Koridor Perdagangan yang merangkumi menara, pejabat, dan hotel; serta komponen institusi.

Pelan pembangunan itu turut menggariskan 50% atau 45,000 kediaman yang di bina adalah kediaman mampu milik, berbanding 4,500 kediaman sedia ada sekarang.

Pelan itu antara lain turut mensasarkan penduduk akan bertambah kepada seramai 160,000 orang dengan pembangunan tersebut. Manakala 85 juta kaki persegi ruang lantai dijangka akan dibangunkan.

Bagi rancangan pembangunan ini ia melibatkan kira-kira 825 lot tanah dengan 5,359 penduduk dijangka terlibat dalam perolehan berkenaan.

Pelan konsep pembangunan itu juga akan memperuntukkan 28 ekar sebagai kawasan Taman Warisan dan 10% daripada 9 juta kaki persegi ruang lantai pembangunan komersial diperuntukkan kepada komersil mampu milik. – 23 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen