60 kematian di jalan raya sejak 4 hari Op Selamat dilancarkan


SEBANYAK 57 nahas jalan raya yang mengakibatkan kematian direkodkan sejak Op Selamat 16/2020 sempena perayaan Tahun Baharu Cina dilancarkan pada Sabtu lepas sehingga semalam, mencatatkan jumlah 60 kematian.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, yang menjangkau sehingga 40 kematian.

Menurutnya Selangor merekodkan jumlah nahas yang mengakibatkan kematian paling tinggi iaitu 16 kes, diikuti Johor (11 kes) dan Kedah (9 kes).

“Sebanyak 6,689 nahas jalan raya direkodkan dalam tempoh empat hari dengan Selangor menyumbang jumlah tertinggi iaitu 2,119 kes manakala Johor (1,070) dan Kuala Lumpur (763),” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, malam ini.

Dalam pada itu katanya, sejumlah 96,477 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 59,552 saman atau 61.7% membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Februari ini. – Bernama, 22 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen