Pakatan tunggu apa lagi?


KEKALAHAN berturut-turut Pakatan Harapan (PH) dalam lima pilihan raya kecil (PRK) iaitu di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands, Tanjung Piai dan terkini di Kimanis sepatutnya menjadi wake up call yang memberikan mesej dan signal yang jelas kepada kepimpinan PH betapa ada sesuatu yang sangat tidak kena.

Calon-calon PH yang mewakili parti komponen yang tumbang satu demi satu sewajarnya membuka mata semua pemimpin dan ahli parti betapa rakyat sudah mula bersuara. Mereka menggunakan PRK untuk menzahirkan rasa kekecewaan dan ketidakpuasan hati.

Ironinya inilah masa untuk PH sedar betapa bukan mudah untuk menguruskan sebuah kemenangan.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan tempoh merai kemenangan  dan berbulan madu PH sudahpun tamat. Rakyat mahu PH segera masuk gear lima dan membuktikan kemampuan sebenar dalam mentadbir negara ini.

Ingat, kekalahan demi kekalahan yang dirakamkan mula menimbulkan pertanyaan, PH tunggu apa lagi? Bukankah kuasa dan peluang sudah ada di tangan maka apa lagi yang ditunggu?

Sepatutnya tempoh masa lebih 20 bulan memegang tampuk pemerintahan sudah cukup memadai untuk merangka dan melaksanakan agenda Malaysia Baharu yang dijanjikan.

Tidak boleh ada lagi alasan tiada pengalaman atau masih dalam proses pembelajaran. Tuntasnya rakyat tuntut, desak dan mahukan perubahan yang dijanjikan itu berlaku dengan segera.

Antara perkara yang dilihat mencetuskan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat ialah beberapa janji manifesto yang masih belum dilaksanakan. Malah ada yang telah dilaksanakan pula tidak sepenuhnya seperti yang dijanjikan.

Kita boleh faham ada beberapa janji yang memerlukan tempoh masa yang lebih lama untuk ditunaikan tetapi harus diingat masa semakin mencemburui PH. Jadi perlu ada tindakan yang lebih agresif ke arah menunaikan janji yang telah diberikan.

Rakyat juga kelihatan semakin muak dengan alasan semuanya salah kerajaan terdahulu. Kita akui memang ada kesalahan dan kerosakan yang teruk tetapi sampai bila kita mahu berselindung di sebalik alasan ini?

Yang dilaporkan buat salah sedang menghadapi tuduhan dan perbicaraan, malah ramai yang sedang beratur menunggu giliran maka biar mahkamah yang menentukan untung nasib mereka. Tetapi adakah kita mahu meneruskan hidup dengan alasan itu saja.

Perkara yang salah dan kerosakan yang telah berlaku perlu segera diperbaiki dan diperbetulkan, seterusnya bergerak maju ke hadapan dengan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara. Henti gunakan alasan itu lagi!

Isu peralihan kuasa juga turut menjadi duri dalam daging yang menganggu dan mencalarkan imej PH. Rakyat seolah-olah diberikan gambaran sedang berlaku perebutan kuasa apabila penyokong masing-masing mula bertindak mempertikaikan permuafakatan janji peralihan kuasa.

Ini memberi gambaran PH sedang bergolak dan tidak stabil.

Walaupun sudah acap kali perkara ini dijelaskan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim namun gelagat para penyokong yang lebih sudu daripada kuah cukup merimaskan rakyat.

Oleh itu hentikan desakan sebaliknya bagi ruang kepada Dr Mahathir untuk membina semula negara dengan meletak asas yang kukuh sebelum berundur. Fokuslah kepada usaha majukan negara, peralihan kuasa akan berlaku bila tiba masanya.

Beberapa isu sensitif yang mencetuskan provokasi dan perbalahan kaum seperti isu tulisan Jawi, Dong Zong, tanglung, pongal, sekolah vernakular serta sekolah wawasan yang dilihat tidak ditangani dengan segera dan betul juga menunjukkan kelonggaran dan kelemahan dalam pentadbiran dan kawalan kepimpinan PH.

Rakyat terutamanya orang Melayu kelihatan marah dan tidak puas hati dengan respon dan cara isu ini ditangani.

Jadi selesaikanlah isu ini dengan segera secara tegas dan tanpa kompromi. Masalah perpaduan kaum boleh menghancurkan negara ini jika tidak diuruskan dengan tuntas dan bijak.

Kepimpinan PH juga perlu akui dan terima kenyataan berlakunya kelemahan yang ketara dalam jentera penerangan kerajaan. Dalam tempoh 20 bulan ini banyak juga perubahan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan tetapi maklumat ini kelihatan  tidak sampai kepada rakyat bawahan. Ini cukup merugikan.

Misalnya tidak keterlaluan untuk dikatakan pada hari ini media sosial dikuasai oleh pembangkang. Apa jadi kepada jentera media PH yang begitu agresif ketika kempen PRU14 yang lalu?

Jadi jangan salahkan rakyat jika rakyat marah sebab mereka tidak tahu apa yang kerajaan sedang lakukan. Justeru jentera penerangan baik di media tradisional mahupun dalam media baharu perlu lebih agresif, efisien, kreatif dan proaktif jika mahu memenangi semula hati rakyat terutamanya golongan muda.

Jadi sekali lagi, persoalannya ialah dayung sudah di tangan, perahu juga sudah di air maka PH tunggu apa lagi?

Laksanakan segera transformasi menyeluruh biar setiap lapisan rakyat merasai kenikmatan perubahan yang dibawa oleh PH.

Jika tidak jangan salahkan rakyat andai terpaksa buat u-turn dalam pilihan raya umum yang akan datang sekaligus mengesahkan cakap-cakap politik pembangkang, PH adalah kerajaan sepenggal. – 22 Januari, 2020.


* Noor Mohamad Shakil Hameed merupakan Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen