MOHAMAD Thaqif Amin Mohd Gadaffi, pelajar tahfiz yang meninggal dunia selepas dikatakan dipukul dan didera, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur di Kota Tinggi, Johor kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Pengebumian pelajar Madrasah Tahfiz Al-Jauhar berusia 11 tahun itu diiringi kira-kira 300 orang, termasuk 30 pelajar tahfiz ditemani guru besar madrasah itu Mohammad Afdhaluddin dan guru agama lain.
Adun Sedeli Rasman Ithnain, exco pembangunan masyarakat negeri Asia Md Ariss dan pemimpin Amanah, Salehuddin Ayub antara yang turut hadir.
Bapa Thaqif, Mohd Gaddafi Mat Karim, 43, membawa pulang jenazah anaknya itu dari rumah mayat Hospital Sultan Ismail pada tengah malam tadi. Ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad, 40, seorang guru kelihatan memeluk erat dua lagi anak kecilnya.
Thaqif sebelum ini dibawa keluar dari sekolah tahfiz itu oleh ibunya pada 31 Mac selepas mengadu sering dipukul.
Mangsa dikatakan didera dan diseksa oleh pembantu warden asrama itu yang merotannya dengan getah paip hingga kakinya bertukar lebam, biru dan hitam.
Kakinya terkena jangkitan dan kemudian tersebar ke bahagian buah pinggang serta bahu kanak-kanak malang itu.
Kedua-dua kaki Thaqif terpaksa dipotong di hospital. Dia dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada 8 pagi semalam untuk membuang tangan kanannya tetapi ditangguhkan kerana jantungnya lemah.
Dia meninggal dunia di hospital kira-kira jam 2 petang semalam. – 27 April, 2017.
Komen