PUTERA Harry dan isterinya Meghan memulakan hidup baharu mereka di Kanada semalam dengan melancarkan amaran undang-undang terhadap media berhubung gambar Meghan berhampiran rumah persembunyian mereka di tepi pantai.
Susulan keputusan mengejutkan mereka untuk keluar daripada kehidupan diraja, Harry berlepas dari Britain ke Kanada bagi menyertai isterinya di rumah mewah itu di Vancouver Island, luar Victoria.
Duke dan Duchess Sussex itu pada masa ini tinggal di rumah berkenaan, menghabiskan masa enam minggu lalu sepanjang Krismas bersama bayi mereka Archie.
Pada pengumuman mengejutkan 8 Januari lalu, mereka berkata mahu menarik diri daripada tugasan diraja.
Pasangan yang berkahwin pada Mei 2018 itu mengaku pada tahun lalu mereka bergelut dengan kritikan media, dan mereka sering membalas kenyataan di media dan mengheret media di mahkamah.
Peguam mereka mendakwa gambar mereka diambil di rumah itu dengan jurugambar bersembunyi di kawasan semak dan mengintai bekas bintang televisyen AS itu.
Peguam berkata Meghan tidak membenarkan gambarnya dirakamkan dan menuduh jurugambar mengganggunya, dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, ada cubaan untuk jurugambar merakamkan gambar di dalam rumah baharu pasangan itu menggunakan lensa panjang, dan berkata paparazi berkhemah di luar rumah itu.
Tindakan Harry, 35, dan Meghan, 38, keluar dari monarki itu menggemparkan institusi yang berusia berabad tahun lamanya.
Dalam keadaan sekarang, pasangan itu bebas menjana pendapatan mereka sendiri. Mereka tidak boleh mewakili nenek Harry, Ratu Elizabeth II atau dirujuk dengan panggilan Yang Amat Mulia, dan perlu juga membayar semula wang pembayar cukai yang dihabiskan untuk rumah mereka di UK.
Mereka tidak akan lagi menerima wang awam – walaupun 95% pendapatan tahunan mereka daripada bapa Harry, Putera Charles – menerusi warisan tanah dan hartanah sebagai bakal raja. – AFP, 22 Januari, 2020.
Komen