PM Lubnan letak jawatan kerana diancam bunuh


Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selepas mendapat ancaman bunuh dan kerana 'cengkaman' Iran ke atas negaranya. – Gambar EPA, 4 November, 2017.

PERDANA Menteri Lubnan Saad Hariri hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selepas mendapat ancaman bunuh dan kerana “cengkaman” Iran ke atas negaranya.

“Saya umumkan peletakan jawatan saya dari jawatan perdana menteri. Saya mengesyaki ada rancangan untuk membunuh saya” katanya dalam ucapan yang disiar dari Arab Saudi oleh rangkaian berita AL-Arabiya.

Saad yang dua kali menjadi perdana menteri merupakan anak kepada bekas perdana menteri Lubnan, Rafik Hariri yang mati dibunuh pada 2005. Saad berusia 47 tahun dan berfahaman Sunni.

Beliau menuduh Iran dan sekutu Syiah Lubnan mendapatkan hegemoni di rantau itu.

Saad berkata Tehran “menyebarkan percanggahan di kalangan anak-anak bangsa yang sama dan mewujudkan sebuah negeri di dalam negeri… sehingga menetapkan bagaimana Lubnan diuruskan.”

“Iran mempunyai cengkaman ke atas negara-negara di rantau ini… Hizbullah adalah ‘tangan’ Iran, bukan sahaja di Lubnan tetapi di negara Arab lain juga.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, Hizbullah menggunakan kuasa senjatanya untuk fait accompli,” katanya. 

Dalam ucapan itu, Saad juga berkata iklim politik Lubnan mengingatkan kepada kejadian sebelum bapanya dibunuh.

Pembunuhan pada Februari 2005 itu mencetuskan pergolakan hingga membawa pengeluaran tentera Syria dari Lubnan. – AFP, 4 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen