Juruteknik kilang rugi RM155,401 ditipu Macau Scam


SEORANG juruteknik kilang kerugian RM155,401 selepas wanita itu ditipu sindikat Macau Scam yang menghubunginya dan mendakwa kononnya dia telah melanggar seorang lelaki hingga meninggal dunia dalam satu kemalangan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata wanita berusia 56 tahun itu mendakwa seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai polis dari Bukit Mertajam telah menghubunginya ketika dia berada di tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas Fasa 4, di George Town pada 10 pagi, 14 Januari lepas memaklumkan tentang perkara itu.

“Pemanggil turut meminta nombor kad pengenalan kononnya untuk membuat semakan dan wanita itu juga memberi alamat rumahnya sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lelaki yang meminta semua maklumat akaun bank termasuk jumlah wang yang terdapat dalam akaun juruteknik itu,” katanya dalam kenyataan, di George Town hari ini.

Beliau berkata lelaki itu memberitahu bahawa akaun bank milik wanita itu akan dibekukan dan dia meminta wanita berkenaan membuka akaun lain dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan serta mengarahkannya menggunakan nombor kad pengenalan sebagai nombor pin akaun.

Katanya lelaki itu turut mengarahkan wanita itu memindahkan semua wang miliknya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke akaun baharu itu kononnya jika tidak bertindak sedemikian, akaun lama akan dibekukan.

Anbalagan berkata suspek turut mengugut kononnya wanita itu akan dikenakan tindakan undang-undang kerana melanggar orang hingga meninggal dunia jika tidak mengikut arahannya, dan turut memberi amaran supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa termasuk ahli keluarganya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek sangat licik dalam memanipulasi mangsa agar tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa termasuk anak wanita itu sendiri yang bekerja sebagai pegawai bank.

Menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.– Bernama, 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen